Sunday, September 26, 2010

Dakwah Solat


Syazwani Abd Rahim

Tersebutlah kisah di sebuah tempat di salah sebuah Negara Arab. Terdapat seorang pemuda yang sangat liat untuk mendirikan solat. Malah dia tidak mendirikan langsung solat lima waktu. Seorang diri pun berat, apatah lagi secara berjamaah. Setiap kali ada ulama yang berkunjung ke tempat mereka, seringkali jugalah penduduk setempat mengadu kepada ulama yang datang bertandang berkenaan sikap pemuda tersebut.

Berkali-kali diberikan nasihat namun sedikitpun tidak memberikan apa-apa kesan kepada anak muda ini. Malah makin menjadi-jadi.

“Awak wajib mendirikan solat lima waktu. Solat merupakan tiang agama kita”, kata salah seorang pendakwah kepada pemuda tersebut.

“Emm..insyaAllah kalau saya rajin saya akan buat ye
”, jawab pemuda tersebut secara sinis.

Begitulah seterusnya. Sehinggalah datang seorang ulama daripada al-Azhar al-Syarif bertandang ke tempat mereka. Aduan yang sama diberikan. Setelah mendengar dengan teliti aduan para penduduk. Maka Ulama ini berkenan untuk bertemu dengan pemuda ini.

“Syeikh pun nak tegur saya juga? Nak suruh saya dirikan solat lima waktu?” , sindir pemuda ini bila melihat ulama tersebut datang bertamu ke rumahnya.

Ulama tersebut sambil tersenyum menjawab “Sekadar ingin berkenalan. Tiada langsung niat saya ingin memaksa kamu seperti yang kamu sebutkan”.

Pertemuan pertama berjalan dengan lancar. Langsung tidak disentuh oleh ulama tersebut berkenaan solat. Perkara yang dilaksanakan hanyalah sekadar merapatkan tali silaturrahim. Bincang tentang pekerjaan, tempat tinggal, sara hidup dan lain-lain.

Pemuda tersebut begitu senang dengan perlakuan Syeikh. Tanpa sedar terselit rasa kagum pada seorang tua berjubah tersebut. Tidak seperti yang selalu datang bertemu dengannya. Setiap kali duduk, terus memberikan peringatan dan dalil-dalil tentang haramnya meninggalkan solat.

Akhirnya pemuda ini pula datang berkunjung ke tempat penginapan Syeikh. Maka semakin bertambah mesra pergaulan mereka. Begitulah keadaan seterusnya, Syeikh tetap tidak pernah menyentuh tentang solat. Sehinggalah tiba satu hari, Syeikh memberitahu bahawa beliau akan berangkat pulang ke Mesir. Ini kerana tugas yang diberikan oleh pihak al-Azhar di tempat tersebut telah selesai. Pemuda itu datang bertemu Syeikh. Rasa sedih akan berpisah dengan seorang ulama menyentak-nyentak jiwanya.

Sebelum berpisah, Syeikh memeluk Ahmad seraya berkata dengan lembut “Ahmad, aku ada mendengar suara-suara mengatakan bahawa engkau tidak pernah bersembahyang. Betulkah begitu?” Tersentak Ahmad bila mendengar pertanyaan daripada Syeikh tersebut.

“Memang benar wahai tuan Syeikh. Bukan aku tidak mengetahui bahawa ianya wajib cuma sikap malas yang ada padaku inilah yang menghalang untukku melakukannya”, jawab Ahmad memberikan alasan.

“Baiklah, kalau begitu, bolehkah kamu tunaikan permintaanku sebelum aku berangkat pulang?”

“Permintaan apa itu wahai tuan?”

“Kamu pilih solat mana yang paling ringan untuk kamu dirikan. Satu pun sudah memadai. Boleh?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.

Terkejut Ahmad mendengar pertanyaan Syeikh. Belum pernah dia dengar solat boleh dipilih-pilih untuk disempurnakan.

“Bolehkah begitu wahai tuan Syeikh?” Tanya Ahmad penuh keraguan.

“Boleh tapi hanya untuk kamu sahaja”, Jawab Syeikh sambil tersenyum.

“Baik, dulu kamu pernah ceritakan kepadaku bahawa kamu berkerja sebagai petani bukan? Dan kamu juga sering bangun awal pagi untuk ke kebunmu. Bukankah begitu Ahmad?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.

“Benar Tuan Syeikh”

"Kalau begitu aku cadangkan kepadamu, alang-alang kamu telah bangun setiap awal pagi, apa kata jika kamu basahkan sedikit sahaja anggota tubuhmu dengan wudhuk dan terus selepas itu dirikan solat subuh dua rakaat. Dua rakaat sahaja, rasanya tidak terlalu berat bukan?” Syeikh memberikan cadangan kepada Ahmad.

Ahmad tanpa banyak bicara terus menerima cadangan Tuan Syeikh. Perasaan serba salah menyelinap jiwanya jika dia menolak permintaan syeikh tersebut yang terlalu rapat dengannya.

“Janji denganku Ahmad yang kamu tidak akan meninggalkan sekali-kali solat subuh ini di dalam hidupmu. InsyaAllah tahun depan aku akan berkunjung lagi ke sini. Aku berharap agar dapat bertemu denganmu di Masjid setiap kali solat subuh tahun hadapan. Boleh ya Ahmad? Syeikh memohon jaminan daripadanya.

“Aku berjanji akan menunaikannya”. Maka dengan senang hati Tuan Syeikh memohon untuk berangkat pulang ke Mesir. Di dalam hatinya, memohon agar Allah memberikan kekuatan kepada Ahmad untuk melaksanakan janjinya.

Tahun berikutnya, setelah Tuan Syeikh sampai di tempat tersebut, beliau benar-benar gembira apabila melihat Ahmad benar-benar menunaikan janjinya. Namun menurut penduduk setempat, Ahmad hanya solat subuh sahaja. Solat yang lain tetap tidak didirikan. Tuan Syeikh tersenyum. Gembira dengan perubahan tersebut.

Suatu pagi setelah selesai menunaikan solat subuh secara berjemaah di Masjid. Syeikh memanggil Ahmad. Seraya bertanya, “Bagaimana dengan janjimu dulu Ahmad. Adakah ada terdapat hari yang engkau tertinggal menunaikan solat subuh?” Ahmad menjawab dengan yakin, “Berkat doamu tuan Syeikh, Alhamdulillah sehari pun aku tidak ketinggalan solat jemaah subuh di masjid ini.”

“Alhamdulillah, bagus sekali kamu. Engkau benar-benar menunaikan janjimu.”

“Mudah sahaja rupanya tunaikan solat ini ya Tuan”.

“Perkara yang kamu lakukan tanpa paksaan pasti akan kamu rasakan mudah sekali. Yang penting jangan rasakan ianya suatu paksaan. Tetapi anggap ianya suatu kegemaranmu. Seperti kamu berkebun. Tiada yang memaksa, tetapi disebabkan minatmu yang mendalam terhadap kerja-kerja itu, maka tanpa disuruh kamu akan melaksanakannya bukan?” Syeikh menerangkan kepada Ahmad.

“Benar apa yang tuan katakan. Perkara yang kita lakukan dengan minat, tanpa dipaksa pun akan kita laksanakan.”

“Ahmad, kamu habis bekerja pukul berapa ya?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.

“Ketika azan Zohor aku berhenti untuk makan, kemudian aku sambung kembali kerja sehingga hampir Asar.”

“Pasti kamu bersihkan sedikit dirimu bukan? Membasuh tangan dan kaki untuk duduk menjamah makanan? Benar Ahmad?” Tanya Syeikh meminta kepastian.

“Ya benar Tuan.”

“Kalau begitu, apa pendapatmu jika aku mencadangkan agar engkau lebihkan sedikit basuhanmu itu. Terus niatkan ianya sebagai wudhuk. Selesai makan, terus dirikan solat zohor empat rakaat. Sekadar empar rakaat tidak lama rasanya bukan? Takkan terjejas tanamanmu agaknya?” Kata Syeikh berseloroh kepada Ahmad.

Ahmad tertawa dengan gurauan Tuan Syeikh. “ betul juga apa yang disebutkan oleh tuan. Baiklah mulai hari ini saya akan cuba laksanakannya”.

Jauh disudut hati Syeikh berasa sangat gembira dengan perubahan yang berlaku kepada Ahmad. Setelah selesai kerja Syeikh di tempat tersebut. Beliau berangkat pulang ke Mesir. Beliau berjanji untuk datang semula pada tahun hadapan.

Begitulah keadaannya Ahmad. Setiap tahun Syeikh bertandang, maka setiap kali itulah semakin bertambah bilangan solat yang dilakukan. Kini masuk tahun ke lima Syeikh bertandang ke tempat tersebut.

Ahmad seperti biasa hanya mendirikan solat empat waktu kecuali Isya’. Selesai menunaikan solat Maghrib. Terus beliau berangkat pulang ke rumah.

Suatu hari semasa Tuan Syeikh melihat Ahmad hendak berangkat pulang setelah menunaikan solat Maghrib berjemaah. Terus beliau memanggil Ahmad.

“Bagaimana dengan kebunmu Ahmad? Bertambah maju?” Syeikh memulakan bicara.

“Alhamdulillah, semakin bertambah hasilnya Tuan”

“Baguslah begitu. Aku sentiasa doakan hasilnya semakin bertambah.” Doa Tuan Syeikh kepada Ahmad.

“Ahmad, aku ingin bertanya kepadamu sebelum engkau pulang. Cuba engkau perhatikan dengan baik. Apa lebihnya kami yang berada di dalam masjid ini berbanding kamu? Dan Apa kurangnya kamu berbanding kami yang berada di dalam masjid ini?”

Ahmad tunduk sambil memikirkan jawapan yang patut diberikan.

“Lebihnya kamu semua adalah kerana kamu mendirikan solat Isya’, sedangkan aku tidak menunaikannya”.

“Baiklah, adakah kamu ingin menjadi orang yang lebih baik daripada kami semua?” Tanya Tuan Syeikh menguji.

“Sudah tentu wahai Tuan Syeikh,” jawab Ahmad dengan penuh semangat.

“Kalau begitu dirikanlah solat Isya’. Maka engkau tidak lagi kurang berbanding kami. Malah engkau akan menjadi lebih baik daripada kami” Syeikh memberikan jawapan yang cukup berhikmah kepada Ahmad.

Akhirnya, berkat kesabaran Tuan Syeikh mendidik Ahmad. Beliau berjaya menjadikan Ahmad seorang yang tidak lagi meninggalkan solat.

Lima tahun bukanlah masa yang singkat untuk memberikan dakwah sebegini. Kesabaran dan hikmah yang tinggi sangat-sangat diperlukan demi menyampaikan risalah dakwah.

Berbeza dengan kita sekarang. Sekali kita bercakap, harapan kita biar sepuluh orang berubah dalam sekelip mata. Oleh kerana itulah, bilamana orang menolak dakwah kita, kita mencemuh, mengeji dan mengatakan bahawa semua sudah lari daripada jalan dakwah. Lari daripada jalan kebenaran.

Monday, September 20, 2010

Bantuan Allah

Kerap kali hati ini merintih lemah meminta dan mengharapkan daripada Allah swt. Sesungguhnya sangat banyak cabaran yang telah dilalui dan kadangkala ianya seperti memaksa kita untuk meninggalkan jalan ini. Nauzubillah.

Inilah fitrah kita selaku makhluk yang bernama manusia. Tidak pernah lekang dengan sifat cuai kerana kita bukanlah diciptakan sempurna. Mungkin selama ini kita terasa kuat dalam menghadapi mehnah pada jalan ini tetapi akan tiba suatu masa kita akan dikunjungi perasaan lemah dan malas yang akan menusuk hati kita secara perlahan-lahan. Ketika itu hati akan mula memberontak dan akhirnya dengan mudah syaitan laknatullah menjalankan misi mereka untuk menarik kita mengikuti jalan toghut.

Sebagai seorang pejuang dalam agama ini, kita seharusnya bergembira dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah:

Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. (Al-Baqarah:214)

Dalam ayat tersebut Allah menyatakan ujian yang diberikan adalah untuk menjadi bukti bahawa para pejuang kebenaran ini adalah seorang yang benar-benar beriman dan ikhlas berjuang hanya kerana ingin menggapai mardhotillah. Inilah hakikat perjuangan, tiada erti senang lenang di dalam kamus hidupnya, yang ada dalam catatan hariannya cumalah perkara yang perit dan penuh dengan pengajaran untuk dibawa sebagai bekalan menempuh hari-hari mendatang yang menjanjikan seribu kesukaran lagi.

Tetapi, walaupun begitu susah perjuangan ini, mereka tidak semudah itu untuk mengalah. Lihat sahaja kisah Bilal bin Rabah, Mus’ab bin Umair dan Khabab yang dikurniakan dengan ujian yang menggetarkan iman, tetapi kerana keimanan yang tinggi kepada Allah, maka mereka diberi keistimewaan berada disamping Allah.

Ayuh pejuang!!! Bangkitlah dari kelemahan diri ini, ingatlah bahawa ujian itu sebagai mahar yang perlu dibayar untuk mendapatkan syurga dan semoga jerih lelah kita menunaikan mahar ini akan menjadi sirna ketika berhadapan dengan Allah kelak.

Perjuangan ini penuh onak duri dan segala macam rintangan, tetapi walaupun rintangan itu setinggi langit, ingatlah bahawa Allah sentisa berada di sisi kita.

Sumber asal di SINI

dan telah dipublishkan di SINI

Sunday, September 19, 2010

Petiklah Bunga Itu Wahai Kumbang Sakti!


Bunga mekar di taman larangan
Elok kelopaknya, elok harumannya
Dijaga rapi Sang Penjaga
Dihias tertib tiada tercela

Aku menyaksikan bunga itu kembang
dan aku juga menyaksikan bunga itu layu.
Lantas! Siapa yang harus kupersalahkan?
Bunga itu? Atau kamu sang kumbang?
Atau kamu?

Tika bunga itu mula menjalar indah ke hentian tertinggi,
Kau datang merampas langkahnya.
Kau datang menghalang cintanya.
Ya!
Kamu datang menghalang cintanya
pada Raja Segala Cinta.
Masakan tidak kamu ketahui?
Cintanya itu milik Raja Segala Cinta!
Kamu tahu itu?
Kamu sedar itu?
Bukankah kamu kumbang sakti?
Mengapa tegar untukmu,
merampas dan merosak cintanya pada Si Dia?

Kamu datang membawa sejuta janji
Kamu datang membawa sejuta pengharapan
Dia itu bunga, wahai kumbang.
Dia itu bunga.
Disentuh oleh tangan asing, layulah dia
Dibuai cerita angkasa melangit, terbanglah dia.

Jangan kau gantung dia tiada bertali
Jangan kau biarkan dia lemah tiada hati
Jika benar kamu kumbang sakti, bunga itu tidak perlu tersungkur.
Petiklah dia.
Secepatnya.
Lekas! Jangan sampai bunga itu hilang seri
Saktimu dan serinya akan mengembalikan cahaya alam buana ini.
Bukankah itu ajaran Rasul kita?
Bukankah itu mengelakkan kemurkaan Tuhan kita?
Dari kamu berterus-terusan menghentak kaki, ego tiada bertepi, lekaslahhh..
Petik bunga itu dan berlarilah kamu di syurga nanti

Aku sayangkan bunga
dan kamu wahai kumbang
Cinta mana yang harus kusumpah menjadi racun?
Cinta yang membuatkan bunga dan kumbang tenggelam di alam fantasi.

Siramkan air dan baja
Mentari! Pancarkan cahaya!

Sempurnakan ia mengikut acuan yang sudah ditetapkan
Jangan diambil racun berbisa andai taman syurga bisa jadi milik kalian berdua

Petik dia.
Mohon petunjuk Raja Segala Cinta
Minta restu kedua orang tua
Dan aku mendoakan sentiasa

Bukan aku memaksa.
Tapi aku terpaksa
Sampai bila harus kau biarkan bunga itu terkulai di situ?
Dia perlukan jawapan.
Petik dia secepat yang kau mampu kumbang..
Andai bunga itu yang hadir dalam petunjukNya
Andai bunga itu yang tersenyum indah dalam mimpimu

Andai kamulah kumbang sakti itu..
Buktikan pada dunia kamu punya kuasa itu

Allah akan mempermudahkan segalanya.
Janji Allah itu pasti

"Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanyang dikehendakiNya."

[At-Talaq:2-3]


Artikel ini telah selamat diterbitkan di sini.

Saturday, September 18, 2010

Guru Teragung

“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah saw suri tauladan yang baik bagi kamu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Akhirat dan dia banyak menyebut Allah” (al-Ahzab:21)
Begitulah firman Allah yang menunjukkan bahawa susuk tubuh mulia seorang guru teragung untuk seluruh umat manusia yang tidak pernah kenal erti penat lelah dan putus asa dalam mendidik jiwa manusia dengan Islam sehingga kita merasakan keindahan Islam ini sekarang.

Kisah Hidup

Muhammad bin Abdullah atau Nabi Muhammad saw. dilahirkan dengan keadaan serba kekurangan. Ayahnya wafat ketika baginda masih berada dalam kandungan ibunya, kemudian ibunya pula wafat ketika dalam perjalanan pulang dari melawat kubur bapanya. Abdul Muttalib, datuknya pula wafat ketika baginda sangat memerlukan kasih sayang sebuah keluarga pada usianya 8 tahun, hanya Allah yang tahu hikmah disebalik peristiwa yang memeritkan ini. Baginda dijaga pula oleh bapa saudaranya yang sangat mencintai dirinya iaitu Abu Talib.

Ketika mendapat wahyu pertama daripada Allah di Gua Hira’ tempat dimana baginda mengasingkan diri daripada perbuatan jahil kaumnya dan untuk berkhalwat bersama Tuhannya. Menggigil seluruh tubuhnya ketika pulang ke rumah dan diselimuti oleh Siti Khadijah isterinya yang banyak berkorban harta benda demi Islam.

Sejak dari itulah perjuangan dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh insan mulia ini dari dulu sehingga kini seluruh umat manusia mengkaguminya sebagai seorang tokoh yang sudah mengubah dunia.

Pengorbanan

Begitu banyak pengorbanan yang dilakukan oleh Rasulullah saw untuk diteruskan oleh kita umatnya. Bagaimana Rasulullah mengajar kita erti kesabaran dalam menghadapi rintangan dalam sebuah pekerjaan, mengajar kita beramal dengan segala kudrat yang ada pada kita dan mengorbankan apa sahaja yang termampu untuk menyebarkan agama mulia ini.

Lihat sahaja peristiwa hijrah yang menyaksikan Rasulullah terpaksa meninggalkan kampung halaman yang sangat dicintainya kerana cintanya baginda kepada Islam dan umatnya. Ketika peristiwa hijrah ke Thoif yang menyaksikan kesabaran yang ditunjukkan oleh insan mulia ini walaupun diherdik dan disakiti oleh penduduk Thoif sehinggakan darah keluar dari kepala baginda sehingga ke buku lalinya.

Baginda sentiasa berada bersama-sama umatnya dalam keadaan senang mahupun susah. Ketika Perang Uhud yang menyaksikan Rasulullah saw dihimpit dengan serangan daripada pihak musuh sehinggakan patah dua batang gigi Rasulullah saw terkena panahan daripada musuh. Baginda turun bersama-sama tenteranya untuk menggali parit ketika Perang Khandak/ Ahzab. Baginda juga bersama-sama mengikat perut yang lapar bersama pengikutnya, biarlah dia orang yang pertama merasakan kelaparan tersebut.

Alangkah besarnya pengorbanan yang ditunjukkan kepada kita oleh susuk tubuh guru terangung sepanjang zaman ini. Begitu bersungguhnya baginda dalam perjungan mendidik manusia menuju ke jalan Allah swt..

Wafatnya Insan Mulia

Ketika umat Islam masih memerlukan bimbingannya, Allah lebih sayangkan Baginda. Ketika itu terasa seperti dunia ini terlalu suram, sahabat-sahabat tidak tertahan dengan pemergiannya, Umar yang dianggap sebagai seorang yang garang akhirnya menitiskan air mata kesedihan melihat sekujur tubuh yang mulia yang tidak bermaya menunggu panggilan daripada Allah.

Sebelum baginda menghembuskan nafas terakhir, sempat baginda membisikkan sesuatu kepada Saidina Ali, sepupu yang sangat dikasihinya. Dirikan solat, lindungilah kaum yang lemah dan umatku, umatku, umatku. Akhirnya baginda menghembuskan nafas terakhirnya di atas pangkuan Aisyah. Bergenang air mata seluruh umat Islam ketika itu mengiringi pemergian seorang insan yang sangat mulia dan seorang guru teragung yang banyak mengajar kita tentang kehidupan dan perjuangan menegakkan yang haq dan meruntuhkan yang batil.

Ya Allah kami tahu kami banyak melakukan dosa kepadaMu dan banyak meninggalkan suruhanMu. Ampunkan dosa kami, dan limpahkan rahmatMu keatas junjungan besar kami Nabi Muhammad saw dan berikan baginda kedudukan yang terbaik di sisimu dan kurniakan kami peluang untuk bertemu dengannya suatu hari nanti, sesungguhnya kami sangat merinduinya.

Selawat dan salam keatas Rasulullah nabi dan juga guru teragung buat kami.

Monday, September 6, 2010

Sayang Anakku Sayang

Mari bayangkan keadaan ini, dimana seorang 'bibik' mendodoi anak kecil. Ditenung anak itu dalam-dalam, anak yang sering keseorangan kerana kurang diberi perhatian. Dibayangkan ibu bapa anak kecil itu yang saban hari kesibukan dalam urusan perniagaan mereka.

"Wahai anak kecil, aku ingin sekali melihat kamu membesar. 
Mari aku dendangkan sebuah puisi berisi doa yang kunukilkan untukmu:

Dan mimpi aku untuk kamu.


"Semoga kamu tidak lelah dan berputus asa,

Semoga kamu faham bahawa kelemahan, kesedihan, kelelahan, ketidakupayaan yang kamu rasa adalah ujian,

Semoga kamu sedar, Siapa pemilik yang memegang dan membolak balikkan HATI-HATI kamu,

Semoga kamu tahu, masih ada yang mendoakan,

Semoga kamu sentiasa bijak, menyedari kesilapan dan memperbaikinya,

Semoga kamu benar benar tahu, bahawa kamu masih anak kecil, yang sedang belajar berjalan, jatuh bangun kamu adalah proses biasa, 

Semoga kamu benar-benar faham, kekuatan, kejayaan itu, jalannya susah payah,

Semoga kamu sudah belajar, mengalami & mengutip pengalaman seperti kisah-kisah yang pernah kamu dengar, dan 

Semoga kamu bingkas BANGUN, FOKUS dan bertindaklah, kerana kamu adalah KHALIFAH!


Nukilan krew iLuvIslam.com

Sunday, September 5, 2010

Puasa Syariat/ Puasa Adat?


ditulis oleh : KuHamba ( ramadhan)

“Adalah bulan Ramadhan, awalnya rahmat,  pertengahannya ampunan dan akhirnya pembebasan dari api neraka.”
(Diriwayatkan oleh Salman al-Farisi)

Rasulullah saw.  merupakan manusia terpilih dan  tauladan terbaik bagi kita. Baginda melipat gandakan ibadah kepada Allah swt. apabila Ramadhan memasuki 10 hari terakhir. Beliau menghidupkan malam harinya dengan mendekatkan diri kepada Allah swt., bahkan beliau membangunkan keluarganya agar turut serta beribadah.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Aishah ra. yang bermaksud:  

“Adalah Rasulullah saw. apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadhan, maka Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.”

Sahabat dan para ulama berbeza pendapat dalam memberi penafsiran terhadap hadith di atas. Tetapi, mereka bersepakat bahawa Rasulullah saw. melebihkan ibadatnya pada 10 malam yang terakhir Ramadhan.

Bagaimana pula dengan kita?
 
Masing-masing sedar dan tentu dapat membuat  penilaian sendiri dengan amal ibadah kita terutamanya pada akhir-akhir Ramadhan. Kita dapat perhatikan bahawa kebanyakan dari kita semakin lalai dan semakin hilang tumpuan untuk beramal ibadat demi mencari keredhaan Allah swt. dalam bulan yang penuh rahmat ini.
 
Apakah perancangan kita apabila menjelang bulan Ramadhan al-Mubarak?

Sudah pasti masing-masing  ingin melipat gandakan amal ibadat semata-mata untuk merebut ganjaran yang dijanjikan Allah swt.. Ramadhan juga dijadikan landasan untuk menginjak ketaqwaan kita pada Allah swt..

Bagi yang beriltizam dengan harapan demikian, alhamdulillah

Dalam mengejar ganjaran Allah, jangan kita lupa untuk memimpin saudara serta teman untuk turut serta mempergiatkan amalan demi mencapai matlamat yang sama.
 
PUASA SYARIAT atau PUASA ADAT?

Wujudkah Puasa Adat? Sudah tentu kita berpuasa kerana mengikut syariat Islam.

Kita ulangkaji sikit mengenai ‘Rukun Islam’

1)      Mengucap dua kalimah syahadah
2)      Menunaikan solat lima waktu
3)      Berpuasa di bulan Ramadhan
4)      Menunaikan zakat
5)      Mengerjakan haji

Dapatlah kita lihat dari senarai Rukun Islam di atas bahawa kita sekarang berada pada tuntutan rukun yang ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadhan.

Apa yang dapat kita lihat pada hari ini, kebanyakan dari kita yang mengakui  Muslim tidak melaksanakan puasa sebagai ibadah mengikut tuntutan syariat. Dalam erti kata lain, tidak memahami konsep puasa dalam Islam.

Apabila berbicara tentang puasa, apa yang bermain di kepala kita adalah tak boleh makan serta minum. Ada pula yang mengeluh seumpama terpaksa berpuasa selama sebulan.

Tiada matlamat. Puasa tak habis lagi, kalut nak raya. Siapa mereka yang tersasar dari matlamat puasa sebenar? Siapa lagi kalau bukan saudara, rakan-rakan bahkan diri kita sendiri.

Akibat kejahilan, ibadat puasa yang penuh dengan limpahan rahmat Allah swt. dilalui dengan sia-sia. Tiada ganjaran.

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


"Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperolehi apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga, dan ramai yang mendirikan solat malam tetapi tidak memperolehi apa-apa pun daripadanya melainkan kepenatan berdiri malam".

Amatlah takut orang-orang yang beriman kiranya puasa mereka sia-sia apabila mendengarkan hadith berkenaan. Tumpuan, matlamat, kesungguhan serta keikhlasan mesti hadir dalam diri kita untuk melakukan apa jua ibadah. Andainya salah satunya tiada, maka jawapannya seperti mana hadith di atas.

Orang puasa, kita pun puasa. Atas kefahaman yang begitu saja kita berpuasa.

Itulah ‘Puasa Adat’. Ramai di kalangan kita sekadar berpuasa, tapi solat lima waktu diabaikan. Tuntutan rukun Islam yang kedua pun tak tertunai, tiba-tiba berpuasa untuk mendapat ganjaran.

Dapatkah? Ya, memang dapat. Dapat sebagaimana huraian hadith di atas.

Tanyalah diri kita masing-masing.

“Adakah aku berpuasa mengikut ‘Puasa Syariat’ atau ‘Puasa Adat’ ?”

Marilah kita sama-sama muhasabah diri, kita masih diberi kesempatan untuk membaiki nilai puasa kita walaupun Ramadhan sudah hampir ke penghujungnya.

 ..............................................................................................
Tujuan penulisan ini adalah untuk saling nasihat-menasihati dan ingatan sesama kita saudara seagama bahkan untuk diri yang sering lalai ini. Kelak kepada-Nya jua kita kembali. Mulai saat ini dan seterusnya, marilah kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah swt. Kita sudahpun berada pada 10 malam terakhir Ramadhan. Jangan lepaskan peluang yang ada untuk kita keluar dari cengkaman agenda Iblis, syaitan serta musuh-musuh Islam yang sentiasa mencari jalan menyesatkan kita selama ini.

Hari ini kita umat Islam semakin lemah. Inilah masanya kita bangun bersama. Sesungguhnya akhir zaman ini sudah hampir tiba pada kemuncaknya. Wallahua’lam.

InsyaAllah, gerakan kebangkitan umat Islam bermula pada bulan yang mulia ini.

Ayuh! bersama berganding bahu.
 
"Jangan biarkan kesedaran anda tergantung"

Wednesday, September 1, 2010

Ujian & Kesabaran

Petikan ni dapat daripada yahoogroup :)
tQ kepada sesiapa yang memberi..
Tak tahu ditujukan kepada siapa, namun boleh dishare di sini untuk panduan :)
Assalamualaikum kawan2..

Semalam terbaca status seorang adik dalam family kita, jadi hari ni terasa nak menaip ini untuk beliau. Tak tau la beliau prasan tak posting ni ntuk dirinya.. Hee.. Semoga kamu terperasan. Moga2 dirinya mendapat ketenangan dan ketabahan. Moga2 yang sama juga untuk diri yang sedang menaip ini dan juga sahabat2 yang lain.
Hidup di dunia memangnya akan penuh dgn ujian. Kita memang diciptakan untuk diuji. Allah Maha Pengasih lagi  Maha Penyayang telah berkata dalam kitab-Nya:

“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah: 155)
Ada kalanya ujian Allah datang terasa sangat berat. Lalu terasa hampir mahu berputus asa. “Aku dah letih Ya Allah.. Aku tak mampu..”  Jangan! Jangan sesekali mengalah. Percayalah dan yakinlah atas nama Dia, Tuhan kita. “Takkan Allah membebani seorang hamba-Nya melebihi kemampuannya.”
“Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala ( dari kebajikan ) yang diusahakannya, dan dia juga mendapat seksa ( dari kejahatan ) yang dikerjakannya. (Al-Baqarah: 286)

Mari renungkan doa ini.. Doa yang penuh pergantungan dan pengharapan hanya pada Dia.

……. (Mereka berdoa dengan berkata): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau mengirakan Kami salah jika Kami lupa atau Kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada Kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami, oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". (Al-Baqarah: 286)