Friday, November 26, 2010

Bolehkah Perigi Cari Timba?

Maklumat Artikel
Bolehkah Perigi Cari Timba?
REZZA KHANAFIAH | Perkahwinan
(tazkirah)



MENGUBAH persepsi manusia bukanlah mudah, lebih-lebih lagi mereka yang telah lama berpegang pada sesuatu adat sehinggakan terlalu sulit untuk mengubahnya berlandaskan syariat. Mendidik  manusia  tidak semudah  membawa seekor lembu untuk meragut rumput di padang.  Pendidikan  berasaskan Islam perlulah diterap bermula dari kecil supaya tidak berlaku kejanggalan yang tidak bertempat apabila syariat diutamakan berbanding dengan budaya turun temurun. Terutama sekali dalam konteks pencarian jodoh.

Masyarakat kita sering memandang serong kepada wanita yang melamar lelaki sehinggakan terbit peribahasa Melayu yang berbunyi perigi mencari timba yang dicipta khusus untuk wanita yang melamar lelaki. Golongan "perigi mencari timba" ini seolah-olah dipandang keji dan dianggap seperti telah melakukan kesilapan besar semata-mata kerana adat tanpa melihat dari sudut syariat Islam. Seolah-olah syariat diketepikan dan adat diutamakan. Inilah budaya yang merantai pemikiran kita, sehinggakan pelbagai persoalan timbul apabila terdapat pihak yang mencuba mengubah persepsi masyarakat dengan berpandukan syariat. Pelbagai pertanyaan timbul di benak apabila persoalan ini diperjelaskan.

“Biar betul ustaz, tak kan perempuan yang datang melamar lelaki”

“Ehh, malulah macam ni ustaz”

“Boleh ke buat seperti tu. Nanti apa kata orang”

Saya tidak risau bagi mereka yang ada rupa, digilai oleh ramai lelaki, tapi bagaimana pula mereka yang sekadar cukup-cukup makan, atau bujang terlajak (andalusia). Tidakkah dianggap ‘sial’ atau aib oleh masyarakat. Sudah pasti aib itu bukan sahaja disandang oleh andalusia sebagai individu, tetapi tempiasnya juga terkena kepada keluarganya. Inilah penghalang utama dan satu-satunya 'musibah' bagi perempuan yang hendak melamar lelaki.

Saya pernah menerima banyak persoalan berkaitan jodoh terutama golongan terlajak ini. Kadang-kadang saya melihat salah satu masalah kita ialah sikap, walhal melihat pada kemampuan, kedudukan, pendapatan boleh sahaja memiliki atau lebih senang bisa ‘memancing’ lelaki tetapi masih sukar untuk mendapat pasangan. Sikap kita pada suatu ketika dahulu yang mungkin agak memilih, mahu cari yang sepadan atau lebih daripada diri. Mana ada kelas seorang doktor kahwin dengan ustaz, mana padan seorang business women berjaya nikah dengan tukang kebun. Maka kalian telah membawa fitnah kepada agama.

Tidak kurang juga di kalangan ahli gerakan, mencari pasangan antara ahli gerakan, tidak boleh berbeza fikrah atau bukan daripada satu jamaah yang sama. Maka menunggulah dengan penuh hiba si perempuan dalam gerakan tadi jejaka idaman satu jamaah datang menyunting. Kalau ahli gerakan itu berjuta-juta mungkin tiada masalah, tapi kalau sekerat jangan bermimpi di siang hari. Maafkan saya, mungkin sedikit agresif (panas), cuma saya ingin ubah sedikit persepsi kita kerana syarat sah kahwin dan rukunnya tidak pernah menyebut perkara yang dirumitkan tadi.

PERSEPSI

Mengapa untuk sebuah kebaikan dan kemaslahatan hidup dapat dikalahkan oleh persepsi yang kolot ini? Persoalannya kembali kepada sikap individu tersebut, apakah dia lebih mengutamakan persepsi atau kebahagiaan hidup yang sejati? Kita meraih syurga cinta Allah melalui pasangan bukan kerana fikrah kita sama atau sebagainya. Sebuah kebahagiaan, amanah kepada rukun rumahtangga.

Apakah kita terasa jijik apabila mengetahui Saidatina Khadijah yang datang melamar baginda, hanya seorang anak yatim piatu, tiada siapa dan apa-apa di sisi. Sedangkan kedudukan Khadijah di sisi masyarakat adalah seorang yang berkedudukan, hartawan, ahli perniagaan berjaya, dan dihormati oleh kaum Quraisy. Beliau menepis persepsi tidak sihat demi mempersunting lelaki yang di matanya terdapat tanda-tanda kemuliaan dan kematangan peribadi. Nafisah binti Munabih menjadi saksi bukti cinta Khadijah kepada insan al-Amin ini. Siapa kita kalau hendak dibandingkan dengan Khadijah?

“Saya teramat sedih ustaz. Kami dah bertunang, memang dah nak kahwin tiba-tiba putus di tengah jalan,” rintih seorang wanita mengenang nasib malangnya.

Malah lebih parah lagi masalah bertunang dan kemudian terputus sebelum diijab-qabulkan ini berlaku berulang kali dan kesannya menimbulkan ketakutan kepada mereka untuk terus mencuba lagi. Bak kata pepatah, luka di tangan nampak darahnya, luka di hati siapakah yang tahu betapa parahnya ia.

Para ulama’ bersetuju bahawa jodoh ialah salah satu qada’ ketentuan Allah Taala seperti rezeki, ajal seseorang hamba. Semuanya itu termaktub sejak azali lagi. Namun kita tidak boleh berserah bulat-bulat hingga terkulat, apabila sampai suatu masa kita telah berputus asa dan mengatakan ini adalah takdir Ilahi. Apakah kita tahu itu ialah takdir Ilahi? Maka sebab kita tidak tahulah kita masih mempunyai satu lagi talian hayat, iaitu ikhtiar.

IKHTIAR, USAHA

Manusia diberi hak seluas-luasnya untuk berusaha dan terus berusaha tanpa mengenal erti putus asa. Kita teringin mahu makan sesuatu yang enak, tapi bolehkah ia hadir tanpa kita berusaha seperti gigih bekerja, mencari duit yang halal sebelum memiliki makanan yang enak tadi. Maka usaha itulah yang akan menjadi penentu pada ketentuan takdir Ilahi. Kalau tidak, kalian tidak ubah seperti Mat Jenin di era moden.

Tidak menjadi kesalahan apabila melihat pada kemaslahatan perempuan memulakan dahulu, soal jodoh selagi mana ia tidak menyalahi syara’ maka dihalalkan dalam Islam, bahkan amat digalakkan. Hendaklah difahami sejelasnya, Islam tidak pernah meletakkan bebanan ke atas bahu lelaki sahaja untuk memulakan terlebih dahulu dalam persoalan mencari jodoh. Buang jauh-jauh persepsi dangkal terhadap peribahasa Melayu; “Perigi mencari timba” atau “Langkah bendul”, dalam Islam ia masih terjaga dan tidak mengaibkan.

BERUSAHA MENCARI KEBAIKAN DAN REDHA ALLAH

Pernah suatu ketika, telah datang kepada Rasulullah s.a.w seorang wanita arab menyatakan hasrat secara terus terang tanpa perantaraan untuk bersuamikan Rasulullah s.a.w. Tapi baginda s.a.w menolak dengan cara baik dan atas simpati, Baginda s.a.w sendiri yang tolong mencarikan suami buat wanita itu dari kalangan para sahabatnya dan mereka kemudian hidup dalam kerukunan rumahtangga yang bahagia.

Bagaimanapun haruslah diingatkan bahawa, wanita yang ingin menggunakan kaedah ini untuk mendekatkan jodohnya perlu menyedari hakikat sopan santun dan tidak melampaui batas hukum syara’ yang menjadi benteng terpelihara.

Mereka perlu berwaspada agar tindakan itu tidak menjejaskan maruah dan harga diri di mata masyarakat kita yang berpegang kepada nilai-nilai agama dan adat. Tujuannya mesti jujur dan hendaklah mendekati lelaki dengan niat yang benar-benar untuk dibuat suami. Tidak perlulah bercinta dulu, atau mahu mengenal hati budi masing-masing. Apabila sudah serasi, aturlah masjlis perkahwinan secepat mungkin.

BERDOA

Jangan lupa juga untuk bekalkan doa bagi menguatkan usaha kita tadi. Doa adalah senjata orang mukmin. Mendekatkan jodoh dengan doa adalah amalan para solifus soleh.

Biarlah malu kita bersalut iman dan bertempat. Perempuan mudah mendapat fitnah ketika bujang berbanding apabila telah berumahtangga, mencari sesuatu kebaikan amat dianjurkan dalam Islam. Jangan salahkan takdir andai kita sendiri silap membuat perhitungan.

Kalian masih diberi peluang untuk membuat pilihan. Andai kita mahu ke arah kebaikan dengan usaha yang gigih, maka kalian akan merasai kesan sampingannya yang sementara seperti penat dan hampir berputus asa, tetapi ia hanyalah seketika cuma. Imbuhannya kalian akan mendapat kesan kebaikan yang abadi.InsyaAllah, yang penting berusaha dan kemudian bertawakkal.

Allahua'lam.

Monday, November 15, 2010

Apa Yang Dirasa

Maklumat Artikel
Apa Yang Dirasa
Syauqah Mujahidah | Motivasi
(tazkirah)



Kadang-kadang kita merasakan diri kita berilmu, walhal “air mata” ilmu yang terbit daripada dada kita sangat sedikit. Kadang-kadang kita merasakan diri kita hebat apabila orang menyanjung dan memuji kita, walhal itu semua muslihat Iblis untuk menyesatkan kita. Amalan seseorang yang banyak adakalanya menjadi modal untuk Iblis memperdayakan kita agar kita berbangga dan riak dengan kelebihan yang Allah pinjamkan. Amal yang sedikit turut dipergunakan oleh Syaitan dengan menimbulkan perasaan sentiasa berprasangka Allah akan mengampuni kekurangan diri tanpa sekelumitpun rasa ingin menambahkan amalan untuk mendapatkan keredhaan Allah.

Penyakit orang kaya adalah bakhil. Penyakit orang miskin adalah malas. Penyakit orang berilmu adalah takabbur. Penyakit orang bodoh adalah tiada keinginan. Penyakit orang beramal adalah ‘perasan’.

Orang yang banyak beramal merasakan dirinya hebat dan disegani. Lalu apabila dia berjalan, dia tunduk semacam tawadhu’ walhal Syaitan dalam jubahnya. Dia bercakap lembut agar dikata orang sebagai orang yang lembut hati walhal dalam hatinya tersimpan suatu perasaan takabbur yang tinggi. Apabila dia bercakap, dia merasakan semua orang memerhatikan kata-katanya. Syaitan telah memperdayakan pandangan mata hatinya, lalu dia menganggap yang buruk itu baik dan yang baik itu sebaliknya.

Orang yang banyak dosa pula sentiasa berharap dengan kalimah Allah yang Maha Pengampun. Dia terlupa Allah juga keras seksaan-Nya. Allah ciptakan neraka sebagaimana Allah turut menciptakan syurga. Neraka untuk orang yang buruk perilakunya, dan juga untuk orang yang baik perilaku tetapi buruk hatinya. Syurga pula untuk orang yang benar-benar bersih daripada sebarang karat kekotoran, jika ada sekalipun, ia terlindung di sebalik rahmat Illahi.

Sesetengah orang berilmu apabila berbicara, maka penuh mulutnya dengan pancaran ilmu yang mempesonakan, walhal hati mereka cemar dengan pendustaan. Mulut mereka berkata benar sedangkan hati mereka menidakkannya. Dia mengatakan cinta akhirat tetapi dia sendiri kelihatannya sibuk mengejar dunia. Dia menyebut perihal zuhud sedangkan jiwanya diselimuti perasaan cintakan dunia berlebihan. Mungkin orang lain mendapat manfaat di sebalik ilmunya yang melangit, tetapi dengar hanya sekadar dengar. Disimpan dalam otak tetapi tidak di hati. Kepalanya makin membesar dengan ilmu yang sarat tetapi hatinya dipenuhi kotoran pelbagai penipuan. Mereka pakar berbicara dalam pelbagai bidang, aqidah mahupun akhlak, tasawuf juga barangkali tetapi hanya lidah menuturkannya sedangkan hati menafikan. Katanya pejuang Islam tetapi lagaknya berlainan.

Orang yang bersih hati pula, kata-kata mereka mungkin tidak membawa mesej keilmuan yang tinggi, tetapi apabila mereka berbicara, ia mengusik jiwa yang mendengar. Apabila dia menyebut soal dosa, yang mendengar akan terbayangkan neraka. Apabila dia menyebut tentang perjuangan, orang akan rindukan jihad. Apabila dia menyentuh soal ibadat, orang semakin rindukan waktu malam untuk bertahajud. Mereka tidak perlu berbicara. Kerana akhlak mereka sudah berbicara sebelum lidah mereka bergerak. Apabila mereka ingin berucap, maka seluruh hati orang mula terusik dan menanti-nantikan mutiara kata yang terbit daripada lidahnya. Sekali orang mendengar, rindu akan bertapak dalam diri mereka. Alangkah mereka rindukan kata-kata orang yang bersih jiwanya yang mana mungkin ilmunya tidak banyak tetapi ia sangat memberi kesan.

Orang yang kotor sebaliknya. Berbuih mulutnya berbicara, namun orang hanya endah tidak endah, dengar tidak dengar. Orang mungkin rindukan pidatonya yang bersemangat, tetapi orang tidak rindukan mutiara kata darinya. Sekadar mendengar menambahkan semangat dalam satu atau dua jam, kemudian hilang berciciran di tengah jalan. Orang yang bersih hatinya, mungkin pidatonya tidak menarik tetapi jiwa sentiasa dibuai dan terusik.

 “Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan ma'siat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis (orang-orang yang ikhlas beribadah kepada Allah)  di antara mereka".” 
( Al-Hijr: 39-40 )


Tuesday, November 9, 2010

Warkah Untukmu


Dengarkanlah. Dengarkanlah suara hatiku ini.

Bukanlah niat hati untuk mencari perang atau meminta simpati. Cuma hati ini terlalu bimbang melihat keadaanmu dewasa ini. Saban hari bertambah parah.

Hati manakah yang tidak sayu melihatmu begitu andai empunya diri ini jua memiliki kakak dan adik yang sejiwa denganmu. Jiwa yang begitu halus. Tempat yang bersarang naluri keibuan.
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai (perintah) Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (At-Tahrim : 6)

Pakaian adalah lambang keperibadian akhlak. Setuju? Lantas apakah yang mendorong engkau masih memakai pakaian ahli maksiat? Kelak kerana pakaian itu engkau akan dihumban ke neraka!
Aku tahu, jauh di sudut hatimu, ingin benar kau menjadi muslimah yang solehah. Ia tersemat kukuh. Kerana itulah fitrah. Fitrah yang suci. Fitrah yang indah.

"Hadapkanlah wajahmu dengan lurus pada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (ar-Rum:30)

Sungguh indah fitrah itu. Madu iman meyelaputinya.

Kembalilah kepada fitrah Islam, pasti engkau dapat merasai manisnya madu iman itu. Ya, amat manis. Tapi ia hanyalah dikhaskan kepada yang benar-benar berusaha untuk mendapatkannya. Aku tahu, untuk kembali kepada fitrah itu terlalu banyak besi halangan dan paku keperitan. Benarlah sabda Nabi Muhammad saw :
"Neraka itu dikelilingi oleh kesenangan, dan syurga itu dikelilingi oleh kesukaran." (HR Bukhari dan Muslim)

Namun tiada alasan untuk kita tidak kembali membersihkan segala noda dan titik hitam dalam hati andai kita benar-benar inginkan. Hendak seribu daya.

Terkadang aku pelik. Tudungmu sudah elok, menutup segala rambutmu. Namun jelek dan pelik bila engkau pakaikan baju yang berlengan pendek. Lagi malang baju adikmu yang kau sarungkan pada badanmu. Bila ditanya, inilah fesyen terkini jawabnya. Namun aku cabar jawapan ini lah yang akan engkau berikan  di hadapan Allah nanti. Adakah masih diberi kekuatan untuk menuturkannya sedemikian rupa?

Mengertilah. Aurat itu bukan hanya terletak pada rambut. Namun pada seluruh anggotamu kecuali tapak tangan dan mukamu. Aku yakin engkau sudah tahu cuma tidak mahu mengerti. Mengapa begini? Bukankah kau ingin kembali kepada fitrah?
"Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka." Surah al-Nur: 31)
"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Ahzab : 59)

Terkadang aku terdengar kau merungut. Merungut kerana auratmu terlalu berat berbanding aurat lelaki bagimu. Usah begitu. Sebaliknya kau harus berbangga kerana engkau adalah ibarat permata yang tidak ternilai harganya. Lantas kerana itulah engkau dijaga rapi tanpa calar.

Apakah kau tidak melihat wanita barat yang hilang ketamadunan dan maruah serta malu angkara tidak di jaga oleh agama mereka. Mereka umpama batu hitam penuh debu di jalanan yang boleh dikutip dan dibuang sesuka hati. Aku pasti engkau tidak mahu begitu.
"Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.” (HR. Muslim, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)

Aku menyeru dengan seruan sayang dan kasih sebagai adik atau abangmu, marilah sama-sama kita kembali kepada fitrah. Singkirkan segala pakaian ahli maksiat dan pakaikan pakaian solehah.

Moga Allah memberi kekuatan untuk kembali kepada fitrah. Rapatlah dengan-Nya, pasti kekuatan itu timbul tanpa dipinta. Aku menyeru dan menasihati diriku terlebih dahulu.

Buatlah pilihan tekad. Mulakan dengan dirimu. Pasti sahabatmu yang lain mengikutimu. Walau pada awal mereka kelihatan menentang atau tidak suka perubahanmu namun hatinya juga seperti hatimu. Ingin jua menjadi muslimah sejati. Hanya kekuatan belum muncul.

Ayuh, tanggalkan segala pakaian ahli neraka itu. Pakaikanlah pakaian fitrah. Pakaian ahli syurga. Tutuplah auratmu. Rapatlah dengan-Nya.

Junaidi Ahmad
kelanafaqir.blogspot.com
Kangar, Perlis.