Tuesday, August 31, 2010

Kembara Salman al-Farisi Mencari Kebenaran

Sesungguhnya sesiapa yang mencari kebenaran, pasti akan menemuinya. Kisah ini adalah kisah benar pengalaman seorang manusia mencari agama yang benar (hak), iaitu pengalaman SALMAN AL FARISY seorang sahabat Rasulullah saw.

Marilah kita semak Salman menceritakan pengalamannya selama mengembara mencari agama yang hak itu. Dengan ingatannya yang kuat, ceritanya lebih lengkap, terperinci dan lebih terpercaya.
 
 
Dari Abdullah bin Abbas Radliyallahu ‘Anhuma berkata, “Salman al-Farisi Radliyallahu ‘Anhu menceritakan biografinya kepadaku dari mulutnya sendiri. Kata Salman, “Saya pemuda Parsi, penduduk kota Isfahan, berasal dari desa Jayyan. Bapaku pemimpin Desa. Orang terkaya dan berkedudukan tinggi di situ. Aku adalah insan yang paling disayangi ayah sejak dilahirkan. Kasih sayang beliau semakin bertambah seiring dengan peningkatan usiaku, sehingga kerana teramat sayang, aku dijaga di rumah seperti anak gadis.
Aku mengabdikan diri dalam Agama Majusi (yang dianut ayah dan bangsaku).  Aku ditugaskan untuk menjaga api penyembahan kami supaya api tersebut sentiasa menyala.

Ayahku memiliki kebun yang luas, dengan hasil yang banyak Kerana itu beliau menetap di sana untuk mengawasi dan memungut hasilnya. Pada suatu hari bapa pulang ke desa untuk menyelesaikan suatu urusan penting. Beliau berkata kepadaku, “Hai anakku! Bapa sekarang sangat sibuk. Kerana itu pergilah engkau mengurus kebun kita hari ini menggantikan Bapa.’’

Aku pergi ke kebun kami. Dalam perjalanan ke sana aku melalui sebuah gereja Nasrani. Aku mendengar suara mereka sedang sembahyang. Suara itu sangat menarik perhatianku.

Sebenarnya aku belum mengerti apa-apa tentang agama Nasrani dan agama-agama lain. Kerana selama ini aku dikurung bapa di rumah, tidak boleh bergaul dengan siapapun. Maka ketika aku mendengar suara mereka, aku tertarik untuk masuk ke gereja itu  dan mengetahui apa yang sedang mereka lakukan. Aku kagum dengan cara mereka bersembahyang dan ingin menyertainya.

Kataku, “Demi Allah! ini lebih bagus daripada agama kami."Aku tidak berganjak dari gereja itu sehinggalah petang. Sehingga aku terlupa untuk ke kebun.

Aku bertanya kepada mereka, “Dari mana asal agama ini?”

“Dari Syam (Syria),” jawab mereka.

Setelah hari senja, barulah aku pulang. Bapa bertanyakan urusan kebun yang ditugaskan beliau kepadaku.

Jawabku, “Wahai, Bapa! Aku bertemu dengan orang sedang sembahyang di gereja. Aku kagum melihat mereka sembahyang. Belum pernah aku melihat cara orang sembahyang seperti itu. Kerana itu aku berada di gereja mereka sampai petang.”

Bapa menasihati akan perbuatanku itu. Katanya, “Hai, anakku! Agama Nasrani itu bukan agama yang baik. Agamamu dan agama nenek moyangmu (Majusi) lebih baik dari agama Nasrani itu!”

Jawabku, “Tidak! Demi Allah! Sesungguhnya agama merekalah yang lebih baik dari agama kita.”

Bapa khuatir dengan ucapanku itu. Dia takut kalau aku murtad dari agama Majusi yang kami anuti. Kerana itu dia mengurungku dan membelenggu kakiku dengan rantai.

Ketika aku beroleh kesempatan, kukirim surat kepada orang-orang Nasrani minta tolong kepada mereka untuk memaklumkan kepadaku andai ada kafilah yang  akan ke Syam supaya memberitahu kepadaku. Tidak berapa lama kemudian, datang kepada mereka satu kafilah yang hendak pergi ke Syam. Mereka memberitahu kepadaku.

Maka aku berusaha untuk membebaskan diri daripada rantai yang membelengu diriku dan melarikan diri bersama kafilah tersebut ke Syam.

Sampai di sana aku bertanya kepada mereka, “Siapa kepala agama Nasrani di sini?”

“Uskup yang menjaga “jawab mereka.

Aku pergi menemui Uskup seraya berkata kepadanya, “Aku tertarik masuk agama Nasrani. Aku bersedia menadi pelayan anda sambil belajar agama dan sembahyang bersama-sama anda.”

‘Masuklah!” kata Uskup.
Aku masuk, dan membaktikan diri kepadanya sebagai pelayan.

Setelah beberapa lama aku berbakti kepadanya, tahulah aku Uskup itu orang jahat. Dia menganjurkan jama’ahnya bersedekah dan mendorong umatnya beramal pahala. Bila sedekah mereka telah terkumpul, disimpannya saja dalam perbendaharaannya dan tidak dibahagi-bahagikannya kepada fakir miskin sehingga kekayaannya telah berkumpul sebanyak tujuh peti emas.

Aku sangat membencinya kerana perbuatannya yang mengambil kesempatan untuk mengumpul harta dengan duit sedekah kaumnya. tidak lama kemudian dia meninggal. Orang-orang Nasrani berkumpul hendak menguburkannya.

Aku berkata kepada mereka, ‘Pendeta kalian ini orang jahat. Dianjurkannya kalian bersedekah dan digembirakannya kalian dengan pahala yang akan kalian peroleh. Tapi bila kalian berikan sedekah kepadanya disimpannya saja untuk dirinya, tidak satupun yang diberikannya kepada fakir miskin.”

Tanya mereka, “Bagaimana kamu tahu demikian?” 
 
Jawabku, “Akan kutunjukkan kepada kalian simpanannya.”

Kata mereka, “Ya, tunjukkanlah kepada kami!”

Maka kuperlihatkan kepada mereka simpanannya yang terdiri dan tujuh peti, penuh berisi emas dan perak. Setelah mereka saksikan semuanya, mereka berkata, “Demi Allah! Jangan dikuburkan dia!”

Lalu mereka salib jenazah uskup itu, kemudian mereka lempari dengan batu. Sesudah itu mereka angkat pendeta lain sebagai penggantinya. Akupun mengabdikan diri kepadanya. Belum pernah kulihat orang yang lebih zuhud daripadanya. Dia sangat membenci dunia tetapi sangat cinta kepada akhirat. Dia rajin beribadat siang malam. Kerana itu aku sangat menyukainya, dan lama tinggal bersamanya.

Ketika ajalnya sudah dekat, aku bertanya kepadanya, “Wahai guru! Kepada siapa guru mempercayakanku seandainya guru meninggal. Dan dengan siapa aku harus berguru sepeninggalan guru?”

Jawabnya, “Hai, anakku! Tidak seorang pun yang aku tahu, melainkan seorang pendeta di Mosul, yang belum merubah dan menukar-nukar ajaran-ajaran agama yang murni. Hubungi dia di sana!”
Maka tatkala guruku itu sudah meninggal, aku pergi mencari pendeta yang tinggal di Mosul. Kepadanya kuceritakan pengalamanku dan pesan guruku yang sudah meninggal itu.

Kata pendeta Mosul, “Tinggallah bersama saya.”

Aku tinggal bersamanya. Ternyata dia pendeta yang baik. Ketika dia hampir meninggal, aku berkata kepada nya, “Sebagaimana guru ketahui, mungkin ajal guru sudah dekat. Kepada siapa guru mempercayai seandainya  guru sudah tiada?”

Jawabnya, “Hai, anakku! Demi Allah! Aku tak tahu orang yang seperti kami, kecuali seorang pendeta di Nasibin. Hubungilah dia!”

Ketika pendeta Mosul itu sudah meninggal, aku pergi menemui pendeta di Nasibin. Kepadanya kuceritakan pengalamanku serta pesan pendeta Mosul.
Kata pendeta Nasibin, “Tinggallah bersama kami!”

Setelah aku tinggal di sana, ternyata pendeta Nasibin itu memang baik. Aku mengabdi dan belajar dengannya sehinggalah beliau wafat. Setelah ajalnya sudah dekat, aku berkata kepadanya, “Guru sudah tahu perihalku maka kepada siapa harusku berguru seandainya guru meninggal?”

Jawabnya, “Hai, anakku! Aku tidak tahu lagi pendeta yang masih memegang teguh agamanya, kecuali seorang pendeta yang tinggal di Amuria. Hubungilah dia!”

Aku pergi menghubungi pendeta di Amuria itu. Maka kuceritakan kepadanya pengalamanku.

Katanya, “Tinggallah bersama kami!
 
Dengan petunjuknya, aku tinggal di sana sambil mengembala kambing dan sapi. Setelah guruku sudah dekat pula ajalnya, aku berkata kepadanya, “Guru sudah tahu urusanku. Maka kepada siapakah lagi aku akan anda percayai seandainya  guru meninggal dan apakah yang harus kuperbuat?”

Katanya, “Hai, anakku! Setahuku tidak ada lagi di muka bumi ini orang yang berpegang teguh dengan agama yang murni seperti kami. Tetapi sudah hampir tiba masanya, di tanah Arab akan muncul seorang Nabi yang diutus Allah membawa agama Nabi Ibrahim.

Kemudian dia akan berpindah ke negeri yang banyak pohon kurma di sana, terletak antara dua bukit berbatu hitam. Nabi itu mempunyai ciri-ciri yang jelas. Dia mahu menerima dan memakan hadiah, tetapi tidak mahu menerima dan memakan sedekah. Di antara kedua bahunya terdapat cap kenabian. Jika engkau sanggup pergilah ke negeri itu dan temuilah dia!”

Setelah pendeta Amuria itu wafat, aku masih tinggal di Amuria, sehingga pada suatu waktu segerombolan saudagar Arab dan kabilah “Kalb” lewat di sana. Aku berkata kepada mereka, “Jika kalian mahu membawaku ke negeri Arab, aku berikan kepada kalian semua sapi dan kambing-kambingku.”

Jawab mereka, “Baiklah! Kami bawa engkau ke sana.”
Maka kuberikan kepada mereka sapi dan kambing peliharaanku semuanya. Aku dibawanya bersama-sama mereka. Sesampainya kami di Wadil Qura aku ditipu oleh mereka. Aku dijual kepada seorang Yahudi. Maka dengan terpaksa aku pergi dengan Yahudi itu dan berkhidmat kepadanya sebagai hamba. Pada suatu hari anak saudara majikanku datang mengunjunginya, iaitu Yahudi Bani Quraizhah, lalu aku dibelinya daripada majikanku.
 
Aku berpindah  ke Yastrib dengan majikanku yang baru ini. Di sana aku melihat banyak pohon kurma seperti yang diceritakan guruku, Pendeta Amuria. Aku yakin itulah kota yang dimaksud guruku itu. Aku tinggal di kota itu bersama majikanku yang baru.

Ketika itu Nabi yang baru diutus sudah muncul. Tetapi beliau masih berada di Makkah menyeru kaumnya. Namun begitu aku belum mendengar apa-apa tentang kehadiran serta da’wah yang beliau sebarkan kerana aku terlalu sibuk dengan tugasku sebagai hamba.

Tidak berapa lama kemudian, Rasulullah saw. berpindah ke Yastrib. Demi Allah! Ketika itu aku sedang berada di puncak pohon kurma melaksanakan tugas yang diperintahkan majikanku. Dan majikanku itu duduk di bawah pohon. Tiba-tiba datang anak saudaranya mengatakan, “Biar mampus Bani Qaiah!( kabilah Aus dan Khazraj) Demi Allah! Sekarang mereka berkumpul di Quba’ menyambut kedatangan lelaki dari Makkah yang mendakwa dirinya Nabi.”

Mendengar ucapannya itu badanku terasa panas dingin seperti demam, sehingga aku menggigil kerananya. Aku kuatir akan jatuh dan tubuhku akan menimpa majikanku. Aku segera turun dari puncak ponon, lalu bertanya kepada tamu itu, “Apa kabar anda? Cubalah khabarkan kembali kepadaku!”

Majikanku marah dan memukulku seraya berkata, “Ini bukan urusanmu! Kerjakan tugasmu kembali!”

Keesokannya aku mengambil buah kurma seberapa banyak yang mampu kukumpulkan. Lalu kubawa ke hadapan Rasulullah saw..

Kataku “Aku tahu tuan orang soleh. Tuan datang bersama-sama sahabat  tuan sebagai perantau. Inilah sedikit kurma dariku untuk sedekahkan kepada tuan. Aku lihat tuanlah yang lebih berhak menerimanya daripada yang lain-lain.” Lalu aku hulurkan kurma itu kehadapannya.

Beliau berkata kepada para sahabatnya, “silakan kalian makan,…!” Tetapi baginda tidak menyentuh sedikit pun makanan itu apalagi untuk memakannya.

Aku berkata dalam hati, “Inilah satu di antara ciri cirinya!”

Kemudian aku pergi meninggalkannya dan kukumpulkan pula sedikit demi sedikit kurma yang terdaya kukumpulkan. Ketika Rasulullah saw. pindah dari Quba’ ke Madinah, kubawa kurma itu kepada baginda.

Kataku, “Aku lihat tuan tidak mahu memakan sedekah. Sekarang kubawakan sedikit kurma, sebagai hadiah untuk tuan.”

Rasulullah memakan buah kurma yang kuhadiahkan kepadanya. Dan beliau mempersilakan pula para sahabatnya makan bersama-sama dengan nya. Kataku dalam hati, “ini ciri kedua!”

Kemudian kudatangi baginda di Baqi’, ketika baginda menghantar jenazah sahabat baginda untuk dimakamkan di sana. Aku melihat baginda memakai dua helai kain. Setelah aku memberi salam kepada baginda, aku berjalan mengekorinya sambil melihat ke belakang baginda untuk melihat tanda kenabian yang dikatakan guruku.

Agaknya baginda mengetahui maksudku. Maka dijatuhkannya kain yang menyelimuti belakangnya, sehingga aku melihat dengan jelas tanda kenabiannya.

Barulah aku yakin, dia adalah Nabi yang baru diutus itu. Aku terus memeluk Bagindanya, lalu kuciumi dia sambil menangis.

Tanya Rasulullah, “Bagaimana khabar Anda?”

Maka kuceritakan kepada beliau seluruh kisah pengalamanku. Beliau kagum dan menganjurkan supaya aku menceritakan pula pengalamanku itu kepada para sahabat beliau. Lalu kuceritakan pula kepada mereka. Mereka sangat kagum dan gembira mendengar kisah pengalamanku.
 
Berbahagilah Salman Al-Farisy yang telah berjuang mencari agama yang hak di setiap tempat. Berbahagialah Salman yang telah menemukan agama yang hak, lalu dia iman dengan agama itu dan memegang teguh agama yang diimaninya itu. Berbahagialah Salman pada hari kematiannya, dan pada hari dia dibangkitkan kembali kelak.

Salman sibuk bekerja sebagai hamba. Dan kerana inilah yang menyebabkan Salman terhalang mengikuti perang Badar dan Uhud. “Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam suatu hari bersabda kepadaku, ‘Mintalah kepada majikanmu untuk bebas, wahai Salman!’ Maka majikanku membebaskan aku dengan tebusan 300 pohon kurma yang harus aku tanam untuknya dan 40 uqiyah.

Kemudian Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam, mengumpulkan para sahabat dan bersabda, ‘Berilah bantuan kepada saudara kalian ini.’ Mereka pun membantuku dengan memberi pohon (tunas) kurma. Seorang sahabat ada yang memberiku 30 pohon, atau 20 pohon, ada yang 15 pohon, dan ada yang 10 pohon, setiap orang sahabat memberiku pohon kurma sesuai dengan kadar kemampuan mereka, sehingga terkumpul benar-benar 300 pohon.

Setelah terkumpul Rasulullah saw. bersabda kepadaku, "Berangkatlah wahai Salman dan tanamlah pohon kurma itu untuk majikanmu, jika telah selesai datanglah kemari aku akan meletakkannya di tanganku."

Aku pun menanamnya dengan dibantu para sahabat. Setelah selesai aku menghadap Rasulullah saw. dan memberitahukan perihalku, Kemudian Rasulullah saw. keluar bersamaku menuju kebun yang aku tanami itu. Kami dekatkan pohon (tunas) kurma itu kepada baginda dan Rasulullah  saw. pun meletakkannya di tangan baginda. Maka, demi jiwa Salman yang berada di tanganNya, tidak ada sebatang pohon pun yang mati.

Untuk tebusan pohon kurma sudah dipenuhi, aku masih mempunyai tanggungan wang sebesar 40 uqiyah. Kemudian Rasulullah  saw. membawa emas sebesar telur ayam hasil dari rampasan perang. Lantas baginda bersabda,  "Apa yang telah dilakukan Salman al-Farisi?" 
 
Kemudian aku dipanggil baginda, lalu baginda bersabda,  "Ambillah emas ini, gunakan untuk melengkapi tebusanmu wahai Salman!"

"Wahai Rasulullah saw., bagaimana status emas ini bagiku? Soalku inginkan kepastian daripada baginda.
 
Rasulullah menjawab, "Ambil saja! Insya Allah, Allah Subhanahu wa Ta’ala akan memberi kebaikan kepadanya." Kemudian aku menimbang emas itu. Demi jiwa Salman yang berada di tanganNya, berat ukuran emas itu 40 uqiyah. Kemudian aku penuhi tebusan yang harus aku serahkan kepada majikanku, dan aku dimerdekakan.

Setelah itu aku turut serta bersama Rasulullah saw. dalam perang Khandaq, dan sejak itu tidak ada satu peperangan yang tidak aku ikuti.’

(HR. Ahmad, 5/441; ath-Thabrani dalam al-Kabir(6/222); lbnu Sa’ad dalamath-Thabagat, 4/75; al-Balhaqi dalam al-kubra, 10/323.)

Sunday, August 29, 2010

Berdusta Terhadap Nabi Atau Berdusta ‘Untuk’ Nabi?





Bismillah ar-Rahmaan ar-Raheem.
Sabda Nabi Sallallahu ‘alayhi wa Sallam:
من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار
“Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api Neraka”
Hadith di atas diriwayatkan oleh lebih 70 sahabat secara langsung dari Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan ia merupakan contoh paling tepat berkenaan dengan Hadith Mutawatir, iaitu hadith yang diriwayatkan oleh sekumpulan perawi dengan jumlah yang tidak masuk akal mereka itu boleh berpakat untuk menipu atau melakukan kesalahan terhadap periwayatan tersebut.
Memang menggerunkan, untuk kita berfikir tentang adanya perbuatan seseorang yang mendustakan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Berdusta terhadap baginda, merupakan suatu keingkaran yang memanifestasikan kekufuran dan kedegilan manusia untuk tunduk kepada hidayah dan penyerunya.
Mungkin di dalam senarai bayangan kita, golongan musyrikin Mekah menjadi pelopor golongan ini. Mereka menolak seruan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, bahkan melemparkan pula kepada Baginda tuduhan-tuduhan jahat seperti ahli sihir dan orang gila. Atau mungkin yang terpampang di kefahaman kita, bahawa yang mendustakan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu adalah mereka yang mengeluarkan kata-kata yang keji untuk mendatangkan kemudaratan kepada Islam dan pengikutnya. Mereka inilah yang dengan sengaja berdusta ke atas Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan mereka inilah yang berhak ditimpakan amaran yang tegas oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam di dalam Hadith yang disebut sebentar tadi.
Ya, memang tidak dinafikan bahawa perbuatan golongan musyrikin dan kuffar serta ahli zindiq dan nifaq itu adalah pendustaan ke atas Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Mereka menolak dakwah Baginda, mereka mengenepikan semua seruan yang disampaikan oleh Baginda, sedangkan semua seruan itu hanyalah untuk kebaikan mereka dan manusia sejagat. Justeru, tidaklah sukar untuk kita membuat justifikasi terhadap kedudukan mereka sebagai pendusta, yang berdusta lagi tercela.
Namun, di sana terdapat segolongan manusia yang di sepanjang rentetan sejarah keilmuan Islam, berdusta ke atas Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dengan cara yang halus, bahkan disangkakan sebagai jalan taqarrub kepada Allah.
Sejarah telah memperlihatkan kepada kita bagaimana semenjak umat dicengkam oleh fitnah kehuru-haraan pengikut Abdullah bin Saba’, seorang Yahudi dari Yaman yang mencucuk jarum permusuhan secara halus di zaman Uthman bin Affan RA, timbul pelbagai golongan dan kumpulan yang saling bermusuhan. Syiah yang ‘memaksa’ Saidina Ali RA menerima sokongan mereka, bertembung dengan golongan Khawarij.
Bermula sebagai perpecahan yang didorong oleh pendirian siasah, merebak dan melarat sehingga membawa kepada kacau bilau Aqidah dan kepercayaan. Pengikut bagi kumpulan masing-masing tanpa segan silu mereka-reka riwayat palsu dan kemudian menisbahkannya kepada Rasulullahsallallaahu ‘alayhi wa sallam. Riwayat-riwayat tersebut diguna pakai sebagai dalil untuk mensabitkan kelebihan pemimpin masing-masing.
Bagi penentang Muawiyah, mereka mempopularkan ‘hadith’ “Apabila kamu melihat Muawiyah di atas mimbarku, maka bunuhlah dia” dan bagi mereka yang menyokongnya, membalas pula dengan ‘hadith’ “Pemegang amanah adalah kami bertiga; aku (Rasulullah), Jibril dan Muawiyah”. Begitu juga dengan riwayat palsu “Tidak ada pokok di dalam syurga melainkan daun-daunnya tertulis – Laa Ilaaha Illallaah, Muhammad Rasulullah, Abu Bakr as-Siddiq, Umar al-Farouq wa Uthman Dzu an-Nurain”.
Ini adalah salah satu punca utama yang membawa kepada timbul dan tersebarnya hadith maudhu’ (palsu).
MOTIVASI DENGAN MENDUSTAKAN NABI
Akan tetapi yang menjadi suatu kemalangan bagi kita, adalah apabila golongan ‘pendakwah’ atau ahli Targheeb dan Tarheeb di zaman tersebut, melakukan pembohongan yang sama, semata-mata untuk menarik perhatian orang ramai agar terkesan dengan ucapan mereka. Golongan ini mencipta riwayat-riwayat palsu tentang sifat syurga dan neraka, supaya mereka yang mendengarnya akan dapat merasai keindahan syurga atau menangis takut apabila mendengar tentang neraka. Pada mereka, jika orang ramai menjadi suka kepada kebaikan dan membenci kejahatan, maka pendustaan dalam bentuk penciptaan hadith palsu itu boleh dijustifikasikan sebagai suatu usaha yang baik.
Lihat sahaja, misalnya Abu ‘Ismah Nuh bin Abi Maryam atau yang lebih dikenali sebagai Nuh al-Jaami’. Beliau sendiri membuat pengakuan bahawa beliau mencipta hadith palsu bahawa kononnya riwayat itu dari Ibnu Abbas, menjelaskan tentang fadhilat surah-surah di dalam al-Quran, satu surah demi satu surah yang lain. Dengan suatu tujuan yang zahirnya kelihatan baik, iaitu untuk menggalakan orang ramai melakukan kebaikan dan membenci kejahatan, orang-orang seperti Nuh al-Jaami’ ini mereka-reka riwayat palsu dan menisbahkannya kepada Nabi SAW. Ketika Nuh al-Jaami’ ditanya tentang sebab beliau mengada-adakan riwayat palsu berkenaan, beliau menjawab, “aku lihat orang ramai telah meninggalkan al-Quran, dan sebaliknya mereka sibuk mempelajari Fiqh Abu Hanifah serta Maghazi Ibn Ishaq. Kerana itulah aku mencipta hadith tentang kelebihan surah-surah di dalam al-Quran untuk mengembalikan manusia kepada al-Quran!” [Al-Maudhu’aat oleh Ibn al-Jawzi 1:240]
Alangkah fasihnya lidah Nuh bin Abi Maryam membuat pembelaan terhadap ‘jenayah murni’nya itu. Hal yang sama juga dilakukan oleh Umar bin Subh bin Imran al-Taymi yang mencipta khutbah nabawi yang palsu serta Maysarah bin Abd Rabbih al-Farisi yang mencipta lebih 70 riwayat tentang kelebihan Saidina Ali RA.
Sesungguhnya para ahli Hadith telah membuat suatu jihad yang amat besar di dalam usaha mereka mempertahankan kemurnian disiplin ilmu Hadith. Mereka telah memerangi habis-habisan golongan pereka hadith palsu ini dan menyebar luaskan riwayat yang sahih sebagai bekalan pembimbing masyarakat.
KONTEKS SEMASA
Namun sikap manusia tidak berubah. Hari ini, walaupun Nuh bin Abi Maryam sudah tiada, masih ramai golongan yang mewarisi perbuatan berdusta ke atas Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Sikap tidak cermat dan teliti di dalam hal ehwal berkaitan keilmuan Islam, menjadikan masyarakat kita gagal merasa gah dan besarnya nilai sebuah hadith. Apabila Hadith Nabawi tidak dipandang tinggi, maka dengan sendirinya ia menjadi rendah sehinggakan ramai di kalangan kita yang tidak segan silu membakul sampahkan hadith Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam dengan kalam-kalam yang tidak diketahui asal-usulnya di dalam bungkusan yang sama.
Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya). [Al-Hashr 59: 7]
Telinga kita cukup mesra dengan kata-kata petah di kaca televisyen, di kuliah-kuliah masjid serta program motivasi, bahawa jika kita beramal dengan amalan ini, maka Allah akan mengurniakan padanya 10 darjat. Jika diamalkan amalan yang itu, nescaya malaikat akan melindunginya.
Bahkan kita juga tidak terkejut mendengar ada di kalangan penceramah yang mendakwa ulat yang lekat di tubuh Nabi Ayyub Alayhi as-Salaam itu jatuh ke bumi, yang jatuh ke darat menjadi lebah penghasil madu, manakala yang jatuh ke laut menjadi gamat. Maka penceramah itu tadi mula mempromosikan produknya. Ini lebih ajaib daripada perbahasan teori evolusi Darwin!
Amat sering kita temui, pendakwah-pendakwah masa kita menyebut bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda, sedangkan mereka langsung tidak mempunyai sebarang sandaran keyakinan bahawa benarkah Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda begitu. Mereka dengan mudah mendakwa memakai pakaian ini adalah sunnah, makan seperti ini adalah sunnah, sedangkan mereka sendiri tidak tahu (atau sengaja bersikap seperti tidak tahu) apakah makna sunnah dan apakah benar Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu sendiri benar-benar pernah berpakaian demikian atau makan seperti itu. Tidak lain dan tidak bukan, semuanya adalah kerana sikap pendakwah seperti ini terhadap nas.
Mereka juga lupa bahawa soal dosa dan pahala adalah hak Allah Subhanahu wa Ta’aala. Mana mungkin kita mensabitkan pahala seperti itu. Siapakah yang memiliki ‘pahala’ itu untuk diberikan kepada manusia? Maka dengan mudah sahaja, para pendakwah menjustifikasikan kata-kata “membasuh talam makan, pahalanya adalah sama seperti membasuh Masjid Nabawi” sebagai hadith yang boleh menggalakkan kebersihan dan gotong royong membersihkan talam!
Kesimpulannya, pendustaan-pendustaan ke atas Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pada hari ini berlaku secara berikut:
  1. Menolak ajaran Islam sama ada secara total, atau dengan cuba mengenengahkan Islam ‘baru’ yang bertujuan merobohkan aspek-aspek terasnya.
  2. Menolak sunnah secara total. Misalnya golongan anti Hadith atau mungkin juga golongan yang tidak mengisytiharkan pada lisan tentang penolakannya terhadap Hadith, namun perbuatannya amat mengkesampingkan Hadith dari kehidupan.
  3. Meniru kelakuan ahli Qasas (tukang cerita) yang amat gemar mencipta ‘hadith’ palsu demi meraih rasa kagum pendengar dari kalangan khawas (orang awam) kepada ucapan-ucapannya. Hari ini, para penceramah, pakar motivasi dan pembimbing masyarakat amat mudah terjebak kepada kelakuan buruk ini. Mereka menisbahkan cerita-cerita pelik yang berjaya mereka temui, kepada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam tetapi kemudiannya tanpa disedari mereka sedang melukis potret Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada suatu figure khayalan, luar biasa dan lagenda, sehingga hilang sifat murni perkhabaran tentang Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai uswah.
  4. Mendakwa dengan sewenang-wenangnya bahawa pakaian begini adalah sunnah, cara duduk begitu adalah sunnah, zikir cara begini adalah sunnah, sedangkan semuanya didakwa tanpa sandaran asal usul dan dalil.
Jadikanlah semua ini sebagai peringatan khususnya kepada pendakwah, ustaz-ustazah di kuliah dan penceramah-penceramah motivasi. Sememangnya kumpulan ini perlu membuat reformasi besar-besaran terhadap persembahan dakwah mereka untuk meningkatkan kesan positif. Namun, ia tidak sepatutnya dilakukan dengan mencampur adukkan galakan-galakan yang berasaskan kepada hadith palsu, mereka-reka pahala, dan ancaman atau targheeb yang tidak berasas lagi dusta.
Didiklah masyarakat agar mengharga ilmu yang berdisiplin. Dekatkan mereka kepada nas dan timbulkan rasa positif dan gembira dapat beramal dengan apa yang terbukti datang dari Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Disiplin ilmu Hadith merupakan satu cabang ilmu yang sangat besar di dalam tradisi keilmuan Islam. Bisa sahaja para pendakwah tersilap dalam menukilkan mana-mana riwayat di dalam ucapan dan penulisan. Namun atas sifat kehambaan kita kepada-Nya, dan kasih yang benar terhadap Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam hingga tidak tergamak mendustakannya, rendahkanlah diri untuk diperbetulkan. Benarkan artikel dan buku-buku untuk diedit agar betul nukilan hadithnya, terimalah teguran apabila ada kesilapan yang kita tersalah laku. Itu lebih menghampiri TAQWA.
Mudah-mudahan janganlah lidah kita yang fasih ini berhujah, “aku bukan berdusta ke atas Nabi, tetapi aku berdusta UNTUK nabi!”
ABUSAIF @ www.saifulislam.com
Cheras 56000
19 Safar 1426H / 30 Mac 2005M

Friday, August 27, 2010

IR- InfraRed Photography


p/s : Jom pakat datang ke Terengganu, tempat cantik budaya menarik. :) 
Terima kasih En Limie kerana memberi keizinan untuk meletakkan gambar2 anda di sini.

Wednesday, August 25, 2010

Membongkar Rahsia al-Quran

Sains adalah antara cabang ilmu yang sukar difahami dan merupakan antara bidang utama yang dikaji oleh saintis di seluruh dunia sejak sekian lamanya. 

Kejayaan-kejayaan menghasilkan pelbagai teori sains yang kemudiannya berjaya membuktikan asal usul kejadian tertentu membolehkan saintis yang kebanyakannya dari Barat dikenang sepanjang zaman. 

Penemuan-penemuan itu juga menjadi satu kebanggaan dan pencapaian seumur hidup saintis berkenaan tanpa mereka sedari bahawa ia sebenarnya terlebih dahulu diterangkan oleh Allah swt. di dalam kitab suci al-Quran al-Kareem.

Ketika al-Quran diturunkan, manusia tidak mempunyai maklumat yang jelas tentang kejadian-kejadian sains dan Allah swt. berjanji untuk menunjukkan kelebihan kepada manusia tentang kebenaran al-Quran seperti firman-Nya di dalam surah Fussilat ayat 53 yang bermaksud :

"Kami akan tunjukkan kepada mereka tanda-tanda Kami di ufuk-ufuk dan pada mereka sendiri sehingga jelas kepada mereka bahawa ia (al-Quran) adalah benar. Dan adakah Tuhanmu tidak cukup (bagi kamu) bahawa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu?"

Bukti-bukti yang diperjelaskan  oleh al-Quran itu tercatat di dalam satu modul yang dikenali sebagai Pengukuhan Akidah Menerusi Penghayatan Mukjizat Sains dalam al-Quran (PASAK) yang merupakan hasil penyelidikan pensyarah Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Mohd Arif Kasmo.

Menurut Dr. Mohd Arif, al-Quran mengandungi lebih daripada 750 ayat tentang fenomena alam atau lebih tepat lagi ilmu sains yang tidak diketahui dengan jelas oleh manusia ketika Kitab Suci itu diturunkan.

Rahsia ayat-ayat al-Quran yang menceritakan tentang fenomena alam itu bagaimanapun terbongkar satu demi satu apabila ilmu pengetahuan serta sains & teknologi manusia meningkat. Rahsia yang terbongkar itu kemudiannya dikaji bermula kira-kira enam tahun lalu dan dijadikan modul yang dikenali sebagai PASAK oleh beliau, sekali gus membuktikan bahawa kejadian sains sebenarnya telah diperjelaskan oleh Allah swt. di dalam al-Quran.

PASAK membincangkan beberapa penemuan sains dalam bidang utama seperti kosmologi, embriologi, anatomi, topografi, botani, dan entimologi di bawah dua kategori utama iaitu berkaitan dengan alam semesta dan berkaitan dengan manusia.

Berikut adalah beberapa kajian sains yang telah dibuktikan oleh saintis dan terlebih dahulu dijelaskan oleh Allah swt. di dalam al-Quran seperti yang telah dikupas oleh PASAK.

Permulaan Alam Semesta

Ahli Kosmologi telah mengemukakan satu teori yang dikenali sebagai "Big Bang" yang mana menurut mereka, kira-kira 15 billion tahun lalu, satu letupan yang kuat telah berlaku. Letupan ini bukan satu letupan biasa sebaliknya merupakan letupan yang mengandungi jirim-jirim yang menjadi asas pembentukan alam semesta.

Selepas berlakunya letupan tersebut, alam semesta berterusan mengembang dan menyebabkan jarak semakin jauh antara galaksi. Kejadian alam ini sebenarnya adalah seperti yang telah dijelaskan oleh Allah swt. di dalam al-Quran seperti firman-Nya dalam Surah al-Anbiya ayat 30 yang bermaksud :

" Dan apakah orang-orang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu kedua-duanya dahulu adalah satu yang padu. Kemudian Kami pisahkan antara keduanya dan dari air kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka juga tidak beriman. " 

Air dua lautan tidak bercampur

Saintis telah menemui fenomena yang mana apabila dua lautan bertemu, wujud pemisah antara kedua-duanya. Pemisah ini membahagikan air lautan yang mempunyai suhu, kemasinan, dan ketumpatan yang berbeza. Sekalipun terdapat kejadian ombak besar, arus kuat dan air pasang surut, namun kedua-dua air lautan ini tidak akan bercampur.

Sebagai contoh, air dari Laut Mediteranean tidak bercampur dengan Lautan Atlantik walaupun kedua-dua lautan ini bertembung di Selat Gibraltar yang memisahkan Maghribi dan Gibraltar.

Bagaimanapun fenomena ini telah dinyatakan oleh Allah swt. seperti  firman-Nya dalam Surah al-Rahman ayat 19 dan 20 yang bermaksud :

" Dia membiarkan dua lautan mengalir yang kemudiannya kedua-duanya bertemu. Antara kedua-duanya ada batas yang tidak dilampaui oleh masing-masing. "

Sejarah ada mencatatkan, seorang saintis marin terkenal bernama Jacque Costeau dari Perancis yang membuat kajian tentang lautan di seluruh dunia terkejut apabila dimaklumkan bahawa al-Quran telah menyatakan tentang fenomena pertemuan dua lautan itu oleh rakannya, Maurice Brucaile. Malah terdapat maklumat mengatakan bahawa Costeau kemudiannya telah memeluk Islam dan terbukti apabila jenazahnya disempurnakan mengikut Islam dan ditalkinkan oleh Imam masjid Paris.

Asal-usul organisma hidup

Persoalan berkenaan asal-usul organisma hidup sejak sekian lama menimbulkan percanggahan pendapat dikalangan saintis. Ada yang berpendapat organisma hidup berasal daripada air yang juga komponen terbesar sel hidup.

Malah ketika saintis membincangkan kemungkinan wujudkan kehidupan di planet-planet lain, perkara utama yang akan dikaji ialah adakah terdapat air atau tidak di planet tersebut. Sebelum teori sains moden tentang asal-usul organisma hidup hanya muncul pada kurun ke-17 dan ke-18, kebanyakan saintis percaya organisma hidup muncul daripada benda-benda bukan hidup secara spontan.

Tetapi teori ini ditolak oleh saintis terkenal, antaranya Harvey, Redid an Luois Pasteur yang berpendapat organisma hidup muncul daripada tindak balas kimia yang panjang dan kompleks. Tindak balas ini dipercayai bermula di dalam lautan kerana pada ketika itu atmosfera belum cukup terbentuk untuk melindungi mereka daripada pancaran cahaya merbahaya daripada Matahari.

Teori bahawa organisma hidup pertama terbentuk dan berkembang di dalam lautan dan kolam-kolam itu dipercayai sehingga sekarang. Namun tanpa mereka sedari, asal usul organisma hidup telah dinyatakan oleh Allah swt. di dalam al-Quran menerusi firman-Nya dalam Surah an-Nur ayat 45 yang bermaksud :

" Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya dan sebahagian antaranya berjalan dengan dua kaki dan sebahagian antaranya berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja yang Dia kehendaki (selain dari yang tersebut) kerana sesungguhnya 
Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. "

Menurut Dr. Mohd. Arif, apa yang paling utama daripada penyelidikan PASAK ialah untuk membuktikan bahawa al-Quran adalah mukjizat teragung yang diberikan oleh Allah swt. kepada Nabi Muhammad saw. untuk difahami dan diyakini oleh umat Islam selepas kewafatan Baginda saw.

Ini kerana al-Quran menjadi satu-satunya pedoman kepada umat Islam untuk menyakini kebenaran dan kesucian Islam memandangkan tiada lagi mukjizat yang boleh ditunjukkan oleh nabi-nabi pesuruh Allah swt. bagi menyakinkan bahawa Islam adalah agama yang sebenar.

" Bagaimanapun, mukjizat-mukjizat al-Quran ini tidak mungkin akan diketahui sekiranya tidak dibaca, dikaji dan difahami isi kandungannya, " jelas beliau.

*Artikel ini telah ditulis dan diedit oleh empunya blog Diary Hearty. Artikel asal telah ditulis oleh Saudara Mohd Khuzairi Ismail dan diterbitkan dalam Akhbar Utusan Malaysia pada Rabu, 9 Ogos 2006. 




Tuesday, August 24, 2010

Amalan yang Menyekat Segala Amal


Assalamualaikum wbt…
Salam Ramadhan buat sahabat-sahabat. Bersempena dengan Ramadhan kali ini, jom sama-sama kita bermuhasabah. Jangan biarkan segala amalan di bulan Ramadhan ini berlalu begitu sahaja tanpa ia dinilai oleh Allah swt. Sahabat-sahabat sekalian, ketahuilah bahawa terdapat tiga perkara yang boleh menyekat segala amal ibadah yang kita lakukan dari dinilai Allah swt iaitu :

1)      Syirik kepada Allah swt.

Janganlah sekali-kali kita mensyirikkan Allah SWT dalam apa jua hal dan keadaan. Lebih-lebih lagi perbuatan yang kita lakukan tanpa disedari bahawa ia adalah syirik, sama ada ianya berpunca daripada kejahilan, menjadi adat kebiasaan atau desakan hidup. Antaranya seperti memakai tangkal dan azimat, membaca jampi serapah yang tidak diketahui sumber dan maknanya, mempercayai keramat sesuatu perkara, mempercayai ramalan bomoh tentang masa hadapan yang melibatkan untung nasib diri, mentaati tuntutan jin khadam, bernazar dengan selain Allah SWT, bersumpah dengan selain Allah SWT, menghalal apa yang diharamkan Allah dan mengharam apa yang dihalalkan Allah, riya’ dalam melakukan amal ibadah dan banyak lagi. Sesungguhnya kesemua kesyirikan ini boleh membawa kepada terbatalnya segala amal ibadah kita di dunia ini. Firman Allah SWT dalam surah Muhammad, ayat ke 33 :

“Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, janganlah kamu membatalkan amalan-amalan kamu”. (Surah Muhammad: 33)

Ayat ini memerintahkan supaya umat Islam tidak mempersia-siakan segala amalan kebaikannya dengan sengaja membiarkan diri terjebak ke dalam perbuatan syirik. Menurut Imam al-Razi, perkara yang membatalkan amalan di sini ialah melakukan kesyirikan. Ia berdasarkan firman Allah:

“Sekiranya kamu melakukan syirik, maka gugurlah amalan kamu” (Surah al-Zumat: 65)
 
2)      Menderhaka kepada Ibu Bapa

Rasulullah SAW menganggap derhaka kepada ibu bapa sebagai dosa besar selepas syirik. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik ra katanya: Nabi SAW pernah menceritakan tentang dosa besar. Baginda bersabda yang bermaksud: “Menyekutukan Allah, menderhaka kepada ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata palsu.” (Riwayat Muslim).

Allah SWT berfirman dalam ayat 8, surah al-‘Ankabut yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kamu semua kembali, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang sudah kamu kerjakan.”

Ia juga dikuatkan lagi dengan wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya dalam al-Qur’an bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (daripada awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada ibu bapamu dan (ingatlah), kepada Akulah tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (Allah) dengan sesuatu yang engkau – dengan akal fikiranmu – tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaul dengan mereka di dunia dengan cara baik. Dan turutlah jalan orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang salih). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semua, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan.” (Surah Luqman ayat 14-15).

Ibn Hibban dalam sahihnya juga meriwayatkan hadith bahawa, “Ridha Allah pada ridha kedua ibu bapa dan kemurkaan Allah pada kemurkaan kedua ibu bapa”.

Oleh itu jangan kita biarkan diri kita beribadah kepada Allah SWT pada bulan Ramadhan ini dalam keadaan kita tidak diredhai oleh Allah SWT. Mohonlah ampun dan maaf kepada kedua ibu bapa terlebih dahulu jika kita ada melakukan sebarang kesilapan sebelum kita memasuki bulan Ramadhan dan semoga kita diberi ‘istiqamah’ untuk terus berbakti dan berbuat baik kepada mereka.

Sabda Rasulullah SAW: “Amat malanglah, orang yang hidup bersama orang tuanya yang sudah lanjut usia, salah satu atau kedua-duanya, tapi tidak masuk ke dalam surga”. (Muslim)

3)      Memutuskan Silaturrahim

Firman Allah SWT, “Maka apabila kiranya kamu berkuasa kamu akan membuat kerusakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan. Mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan dituikannya telinga mereka dan dibutakannya penglihatan mereka”. (Muhammad: 22-23).

Diriwayatkan dari Jubair bin Muth’in r.a, bahawasanya ia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Tidak akan masuk surga seorang pemutus silaturrahim”. (Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW beliau bersabda, “Sesungguhnya Allah menciptakan makhluk. Setelah Ia selesai menciptakan makhluk, silaturahim berkata, ‘Ini adalah tempat seseorang meminta perlindungan dari-Mu dari perubatan memutus silaturahim (kekeluargaan).’ Allah berfirman, ‘Benar! Apakah kamu ridha Aku menyambung untuk orang yang menyambungmu dan aku memutuskan untuk orang yang memutuskanmu.’ Silaturahim menjawab, ‘Tentu ya Rabb.’ Allah berfirman, ‘Itu untukmu.’ Rasulullah saw. bersabda, ‘Jika kalian mau maka bacalah firman Allah, ‘Maka apabila kiranya kamu berkuasa kamu akan membuat kerusakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan’”. (Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan daripada Aisyah r.a, daripada Nabi SAW beliau bersabda, “Tali silaturahim merupakan penghubung-Ku, siapa yang menyambungnya maka Aku akan menyambungnya dan siapa yang memutusnya maka Aku akan memutusnya”. (Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan daripada Nabi saw, “Barangsiapa memutus tali kekeluargaan atau bersumpah palsu maka ia akan melihat akibat buruknya sebelum ia meninggal,” (Sahih, Silsilah Ahaadits ash-Shahiihah)

Diriwayatkan daripada Abu Bakrah r.a, daripada Nabi saw, “Tidak ada satu dosapun yang lebih Allah cepatkan hukumannya di dunia bagi si pelaku disamping siksaan yang menunggunya di akhirat nanti selain dosa berbuat aniaya dan memutuskan tali kekeluargaan” (Bukhari dalam Adabul Mufrad)

Amalan pemutus silaturrahim juga tidak diangkat dan diterima oleh Allah SWT. Ia berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bahawasanya segala amalan anak Adam dipersembahkan kepada Allah pada setiap petang Khamis malam Jumaat, maka tidak diterima amalan pemutus silaturrahim”. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, semua rijalnya adalah thiqah dan dihasankan oleh al-Albani”.

Wallahu a'lam.

Daripada : Krew iluvislam.com

Monday, August 23, 2010

Aku Milik-MU - Azhan Atan

Cube korang dengar baik2 lirik nasyid ni..
Menyentuh ke kalbu..

Panduan Memilih Isteri


"Yang paling kukuh keimanan ialah berkawan kerana Allah, bermusuhan kerana Allah, cinta kerana Allah dan membenci kerana Allah."
(Hadis Riwayat Tabarani dari Ibnu Abbas r.a)

Mengapakah teruna memilih gadis jelita? Kata orang, gadis seperti ini menyejukkan serta menggembirakan hati. Betulkah begitu?

Gadis itu pada asasnya bererti wanita yang belum bernikah. Walaupun begitu, perkataan ‘gadis’ juga digunakan bagi menggambarkan kesucian seseorang wanita. Wanita yang sudah ternoda sebelum berkahwin digelar ‘sudah tiada gadis’ atau ’sudah tiada dara’. Umumnya, pengertian pertama iaitu wanita yang belum bernikah digunakan secara formal sedangkan yang kedua itu adalah gelaran yang diberikan secara berbisik-bisik.

Alam gadis merupakan alam yang paling manis bagi seseorang wanita. Semasa inilah seseorang wanita itu akan mencapai tahap mekarnya dan keayuannya. Pada masa inilah wanita itu mula dipanggil ‘bergetah’ jika kita hendak meminjam bidalan Soekarno. Bila dipandang, banyak hati lelaki akan tergoda. Ada gadis yang ‘boleh tahan’ dan ada gadis yang ‘tak boleh tahan’. Gadis yang ‘boleh tahan’ biasanya dianggap manis tapi tidaklah jelita. Yang ‘tak boleh tahan’ pula adalah gadis yang sungguh cantik menawan. Ramai lelaki yang tergoda kepada gadis ‘tak boleh tahan’ ini apatah lagi jika gadis itu sendiri pandai pula menggoda dan mempermainkan perasaan lelaki.

Tidak dapat dinafikan bahawa lelaki teruna sememangnya tertarik pada rupa dan bentuk fizikal gadis. Itulah yang menjadi asas mengapa mereka lebih memberi perhatian. Ada orang berpendapat bahawa gadis yang cantik lebih beruntung kerana lelaki melayaninya dengan lebih baik, mesra dan lemah-lembut.

Adab Memberi Nasihat

 Daripada Abu Ruqaiyyah Tamim ibn Aus al-Daarie r.a. bahawa Nabi SAW telah bersabda: “Agama itu adalah nasihat.” Kami berkata: “Untuk siapa?” Baginda bersabda: “Untuk Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk para lmam kaum muslimin dan untuk umat lslam seluruhnya.”

Hadis riwayat al-lmam Muslim.
.................................................................................
Di dalam hadith ke-7 dalam Kitab Hadith 40 yang telah disusun oleh Imam Nawawi ini, jelas telah digambarkan oleh Rasulullah SAW tentang perihal pentingnya nasihat menasihati di dalam perkara kebaikan. Nasihat juga digambarkan besarnya seperti sebuah Agama Islam, menunjukkan bahawa Islam ini melingkari seluruh aspek kehidupan seharian kita.
Pengertian nasihat

Agama Islam adalah agama Allah, dan agama menurut Rasulullah SAW adalah nasihat yang terbaik untuk umatnya. Dalam Bahasa Arab, nasihat membawa maksud yang dinasihati akan mendapat faedah daripada nasihat yang telah diberi. Ia juga membawa erti bahawa yang menasihati hendaklah menggunakan perkataan yang terbaik dan ikhlas bersih dari maksud yang tidak baik.
Adab-adab memberi nasihat

1. Meluruskan niat sebelum menasihati seseorang supaya tidak ada yang berasa disakiti. Ikhlas menasihati saudara semuslim semata-mata karena Allah. Seharusnya seorang yang ingin memberikan nasihat itu perlulah bersih dari segala bentuk niat yang terpesong kerana ia akan memberi kesan ke atas nasihat yang ingin diberikan. Janganlah menasihati seseorang itu kerana ingin menunjukkan kitalah orang yang benar, tetapi tegurlah kerana ingin mengajak sahabat ke jalan yang benar.

2. Menjaga ukhuwah semasa menasihati. Diusahakan supaya menasihati saudaranya dengan tidak diketahui orang lain. Sebahagian ulama berkata, “Barangsiapa yang menasihati seseorang dan hanya ada mereka berdua, maka itulah nasihat yang sebenarnya. Barangsiapa yang menasihati saudaranya di depan banyak orang, maka yang demikian itu mencela dan mencelakan orang yang dinasihati.” Islam mengajar umatnya supaya mempunyai akhlak yang tinggi. Dalam hal menasihati juga terdapat perkara ini. Ini menunjukkan bahawa Islam amat menjaga hati dan maruah orang yang dinasihati supaya tidak berlaku perpecahan kerana perkara nasihat.

3. Bersih hati semasa menasihati. Menggunakan bahasa yang halus dan menegur hanya untuk perkara-perkara yang salah. Kadang-kadang kita sering menggunakan perkataan yang sangat teruk untuk meluahkan nasihat kita. Dalam ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah yang berbentuk menasihati, kita lebih gemar menyatakan salah orang lain seolah-olah mereka yang melakukan perkara tersebut sangat jahat dan sudah tiada ruang untuk bertaubat. Seharusnya selaku seorang pendakwah, nasihat adalah senjata utama yang perlu digunakan sebaiknya.

4. Memikirkan cara yang terbaik untuk menasihati saudara. Seboleh-bolehnya mengenali dulu saudara yang bakal kita nasihati itu. Nasihatilah mereka dengan kasih sayang dan jadilah sebahagian dari mereka, kerana dari situ kita akan tahu apa puncanya mereka begitu.

5. Memberi waktu dan kesempatan kepada saudara yang dinasihati untuk mengubah sifat buruk/ kesalahan yang dilakukannya. Manusia perlukan masa untuk berubah, jangan memaksa mereka untuk berubah mendadak, ia bukan dalam lingkungan tugas seorang pendakwah. Dalam berdakwah perlu akan sifat sabar dan berserah kepada Allah. Jadilah orang yang sentiasa mengharap pertolongan Allah dan jangan mudah putus asa di atas nasihat yang diberikan kerana itu mungkin ujian yang telah ditentukan oleh Allah untuk menguji kesabaran. 
Ayuh semua sahabatku, kita renungkan kembali perkara yang telah kita lakukan selama ini, nasihat yang telah kita berikan kepada orang lain atau nasihat yang diperolehi daripada orang lain, adakah kita sudah melaksanakan amanah ini? Jangan jadi golongan yang hanya tahu menasihati sedangkan mereka tidak sedia untuk dinasihati.

Dipetik dari Wangian Syuhada.
Diedit untuk iluvislam.com.

Puasa Dulu

Time tunggu abg aku bersiap nak gi office pg td..
tetiba jer teringat puasa zaman aku kecik2 dulu..
mungkin sebab aku lapar kot..
sebab makan buah limau je time sahur pg td..
perut takleh terima makanan..
..huhuhu..

Kalau dulu2, time aku masih bergelar budak sekolah..
Time org puasa aku puasa..
Tapi puasa aku pelik sikit..
Pagi2 mak aku sediakan nasi goreng tuk breakfast sebelum g sekolah..
Kat sekolah kalau kwn2 tanya aku puasa ke tak..
Aku jawab aku puasa..
Balik umah lepas sekolah aku makan tengahari..
Ayah aku kata budak2 puasa sekerat hari jerk..
(Sarapan=sahur, makan tengahari=berbuka)
Aku tak ingt sampai darjah berapa aku puasa mcm tu.. 
maybe sampai darjah 4 kot..

Selepas tu aku cube puasa penuh..
Hehehehe.. penuhla sangat..
Time aku puasa, aku suka mandi..
Sambil2 aku mandi aku ambil kesempatan minum air..
hehehehe..
Sambil2 aku berwhudu' nak solat,
time tu jugak aku telan air :P
xde sape pun yg tahu..
tapi time tu aku x rs bersalah pun..
poyo memanjang..

Entah camne time aku darjah enam kot..
tetibe aku tgk kakak aku makan sembunyi2 time puasa..
mana aci.. aku nk makan jugak..
aku tanye, kak..kenapa makan?
Akak cakap xpe kalu kite makan biskut, tp jangan bgtahu org..
Nah ko, aku bedal semua biskut tu time org tak nampak..
hahahaha..
kalau biskut habis org akn cakap adik yg makan..
bukan aku, sebab aku puasa :P
xpe, aku kecik lagi time tu..
xyah ganti :P

kalau teringat semula..
macam best jerk..
skrg bila aku tgk anak2 saudara aku mandi,
lps tu aku tanye,
telan air tak td?
kalu telan batal puasa..
..:P..P..
p/s : macam tau2 jerk..

Nota kepala lutut: Blog ni urlnya ada mslh, so aku create blog baru. Ni blog baru aku LadyBird's Life yg masih belum sempurna.