Monday, July 26, 2010

Arca Itu



Arca itu
Melata ia berdiri
Berceracak di atas hamparan bumi
Kaku
Bisu
Bersama kelunya suasana
Pasaknya teguh di atas gembur tanah merah
Di hujung kampung
Di tepi sebuah masjid.

Atasnya
Terukir nama sang pemilik
Berbintikan bonda tersayang
Beserta satu tarikh
Mahukah kamu arca itu?
Sekarang pastinya tidak..
Tapi
Arca ini tetap jua
Menghiasi atas kamarmu
Seandainya kiamat belum tiba.

Tatkala melihat arca itu
Aku terdiam
Berfikir
Apakah nasib penghuni di dalamnya?
Selesakah ia?
Atau dihurung derita?
Heningnya suasana tidak mampu
menyingkap berita buat khabaran dunia
Yang pasti
Hanya bayu nan sepi
Bersama suramnya bebayang kemboja
Menemaniku penuh setia.

Dari perut mobilku,
Mataku tuntas menjeling medan itu
"Sejahtera ke atasmu wahai ahli kubur"
Bisikan sejahtera melepasi halkumku
Subur pohon bagai memayungi arca itu
Daripada siraman hujan, dan terik suria
Namun, tiada yang mampu melindungi sang pemiliknya
Daripada seksa tanpa belas
Melainkan hanya amal dan iman..
Serta doa anak yang soleh/ solehah
Terus menjadi bekalan.

Sahabat,
Maka arca itu adalah sang batu nisan.
Dan kamar itu adalah kubur
Di sini jua,
Ingin aku bertanya..
Diriku, dirimu dan insan-insan yang membaca nukilanku ini,
Apakah kita benar-benar anak yang soleh/ solehah..?
Yang doanya sahaja mampu meringankan beban
Sang pemilik kubur
Yang mungkin jua kita
Atau mungkin juga ibu bapa tercinta
Usah beritahu aku jawapannya,
Cukup sekadar kau tahu statusmu di sisi Yang Esa.


Nukilan asal : Marjan Qalbi
Diedit kembali untuk iLuvislam.com

0 comments: