Tuesday, July 13, 2010

Antara Akhlak/ Adab dan Ilmu

Islam adalah agama yang amat menitik beratkan soal akhlak dan adab-adab bagi menjamin kebahagiaan dan keharmonian hidup di dunia dan akhirat. Adab-adab yang diajar oleh Islam ini merangkumi segala aspek samada sekecil-kecil perkara hinggalah kepada sebesar-besar perkara. Perutusan Rasulullah S.A.W. kepada manusia juga di antara lainnya adalah untuk menyempurnakan akhlak yang baik lagi terpuji kepada seluruh alam.




Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemulian akhlak (manusia). (Riwayat Baihaqi). 

Amat malang sekali apa yang berlaku pada dewasa ini, sebilangan umat Islam meninggalkan dan tidak mengambil berat adab-adab Islam lantas berlakulah perbalahan yang tidak menguntungkan umat Islam. Bahkan ada sebilangan umat Islam yang sengaja menolak dan tidak mahu langsung mengambil manfaat daripadanya sedangkan mereka ini daripada kalangan orang-orang yang mengetahui. Apa yang lebih menyedihkan lagi, mereka juga melarang orang lain daripada melakukan dan beramal dengan adab-adab Islam sedangkan mereka juga mengetahui kelebihan dan kebaikkannya.

Sebilangan daripada Salaf berkata:

Dengan mempelajari satu bab daripada adab (akhlak) lebih disukai disisiku daripada mempelajari tujuh puluh bab daripada bab-bab ilmu. (Kitab: Mausuah al-Adab al-Islamiyyah).

Islam amat menyeru umatnya supaya mengamalkan segala adab-adab yang telah dijelaskan dan diterangkan oleh al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. melalui lidah-lidah para ulama. Adab-adab tersebut untuk memastikan agar kehidupan manusia berada di dalam keadaan aman dan harmoni.Semua adab-adab adalah untuk mencantikkan segala amalan yang ingin dilakukan manusia.Setiap amalan akan lebih bermakna sekiranya dihiasi dengan adab-adab yang indah. Berikut di antara kata-kata ulama yang boleh kita jadikan teladan:

Berkata Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah:
"Imam Qurafi berkata di dalam kitabnya al-Furuq: Ketahuilah sesungguhnya dengan mengamalkan sedikit adab-adab Islam lebih baik daripada memperbanyakkan amalan." (Kitab: Min Adab al-Islam).

Berkata Syeikh Abdul Aziz bin Fathi: 
"Ibnu Mubarak berkata: Aku mempelajari adab selama tiga puluh tahun dan aku mempelajari ilmu selama dua puluh tahun dan adalah mereka (para ulama) mempelajari adab kemudian barulah mempelajari ilmu." (Kitab: Mausuah al-Adab al-Islamiyyah).

Berkata Imam Nawawi: 
"Imam Shafie berkata: Sesiapa yang ingin dibukakan hatinya oleh Allah Taala maka hendaklah ia berkhalwat, sedikit makan, manjauhi daripada bergaul dengan orang bodoh dan membenci orang yang tidak berlaku adil dan tidak beradab daripada kalangan orang yang berilmu." (Kitab: al-Majmuk Syarah Muhazzab).

Berkata Habib bin as-Syahid kepada anaknya: 
"Wahai anakku, berkawanlah engkau dengan fukaha (orang alim), pelajarilah daripada mereka dan ambillah adab-adab yang baik daripada mereka kerana sesungguhnya yang demikian itu lebih disukai disisiku daripada banyak mempelajari hadis." (Kitab: Mausuah al-Adab al-Islamiyyah).

Berkata Saidina Ali: 
"Petunjuk sebaik-baik pemimpin, akhlak yang baik sebaik-baik teman, akal merupakan sebaik-baik sahabt dan adab sebaik-baik peninggalan." (Kitab: al-Adab Islamiyyah Li an-Nasyiah).

Salah seorang hukamak berkata: 
"Tiada kemuliaan bersama buruknya adab."(Kitab: al-Adab Islamiyyah Li an-Nasyiah).




Apabila kita membicarakan perihal adab-adab dan akhlak maka persoalan ini sudah pastilah mempunyai kaitan khusus dengan perbincangan ilmu Tasawuf. Ilmu Tasawuf pula adalah sebahagian daripada ilmu-ilmu yang perlu dipelajari oleh setiap umat Islam selain daripada ilmu Akidah dan Fiqh. Tidak lengkap rasanya jika perbahasan hukum-hakam tidak diselitkan bersama dengan unsur-unsur ilmu Tasawuf. Ini kerana ilmu Tasawufbertindak menjaga kesucian dan ketenangan hati dan kemudian diterjemahkan melalui perbuatan zahir yang diambil kira berdasarkan ilmu Fiqh. Barangsiapa yang hanya mempelajari ilmu Fiqh dan Akidah tanpa mempelajari dan menghayati ilmuTasawuf maka sesungguhnya mereka sengaja menjerumuskan diri ke lembah kebinasaan.

Berkata Imam Junaid: 
"Tasawuf adalah menggunakan semua akhlak ketinggian yang terpuji dan meninggalkan semua tingkah laku yang rendah lagi dikeji."(Kitab: al-Nusrah al-Nabawiyyah).

Wallahualam.

Nukilan : Buluh (Moderator Agama Iluvislam.com)

Diedit balik oleh Isyrak. 

"Adab tulus tanpa ilmu adalah lemah dan tak berguna,ilmu tanpa adab tulus adalah membahayakan"


0 comments: