Monday, July 12, 2010

Muhasabah Diri


"Barangsiapa berbuat kebaikan mendapat balasan sepuluh kali lipat amalnya. Dan barangsiapa berbuat kejahatan di balas seimbang dengan kejahatannya. Mereka sedikit pun tidak dirugikan (dizalimi)" [6:160]



Dalam hidup ini, kita tidak pernah dapat memilih ketentuan hidup sendiri.. Kita tidak pernah diberi pilihan untuk menjadi anak kepada seorang perdana menteri atau pun seorang petani biasa. Kita tidak pernah ditanya adakah kita ingin menjadi perempuan atau pun lelaki, berkulit cerah atau berkulit gelap, hidung kemek atau berhidung mancung, semua itu telah ditetapkan oleh Allah sejak azali lagi. Semua ketetapan itu adalah terbaik  untuk kite sepanjang perjalanan hidup kita di dunia ini.

Kita membesar dengan keadaan yang Allah telah takdirkan untuk kita. Dari sehari ke sehari kite berganjak daripada bayi, kanak-kanak dan kemudian ke usia remaja dan kemudian meniti hari-hari tua. Sepanjang perjalanan hidup, kita ditakdirkan untuk berjumpa dengan sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya, melalui pelbagai peristiwa yang telah tersurat dan semua itu merupakan anugerah dan ujian bagi Allah untuk kita.  Jika pertemuan kita itu berdasarkan syariat Allah, maka baiklah kesudahannya, dan jika pertemuan itu berdasarkan nafsu semata-mata, maka buruklah kesudahannya. Allah memberi kita pilihan untuk menentukan sendiri berdasarkan pengetahuan dan didikan agama yang kita dapat sepanjang hidup kita hingga ke saat ini. Allah tidak pernah mentakdirkan keburukan kepada makhluk ciptaan-NYA. Hanya kitalah yang menentukannya berdasarkan akal kita. yang baik dari Allah, dan yang buruk dari kita sendiri.

"Kehidupan kita di dunia ini tidak menjanjikan satu jaminan yang berkekalan. Apa yang ada hanyalah percubaan, cabaran dan pelbagai peluang. Jaminan yang kekal abadi hanya dapat ditemui apabila kita kembali semula kepada Ilahi."

Apa yang kita lalui sekarang, samada baik atau buruk adalah disebabkan oleh masa lalu kita yang telah jauh kita tinggalkan. Ia merupakan cermin masa lalu yang hampir kita lupakan. Setiap apa yang kita buat masa lalu kita samada baik atau buruk, Allah akan tetap membalasnya samada di dunia sekarang mahupun di akhirat nanti. Allah akan tetap membalasinya walaupun hanya sebesar zarah, dan Allah tidak akan pernah lupa untuk membalasnya, lebih-lebih lagi dosa-dosa yang berkaitan dengan makhluk ciptaanNya. 

Kita gembira hari ini, mungkin kita pernah menolong orang suatu waktu dahulu, mungkin kita pernah membahagiakan org suatu waktu dahulu, dan kita sengsara hari ini, kemungkinan kita pernah membuat orang lain sengsara suatu ketika dahulu. Allah tidak pernah bertindak kejam. Kesengsaraan itu mungkin ujian yang Alalh bagi untuk menyedarkan kita, dan menghapuskan dosa-dosa kita yang lampau.. dosa-dosa maksiat yang telah kita lakukan. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui, kita hanyalah makhluk ciptaan-Nya sahaja. Dan mungkin juga ujian yang Allah turunkan pada kita untuk menguji sejauh mana keimanan dan tahap kebergantungan kita pada Allah, kalau kita sabar dan redha dengan ujian tersebut, insyaAllah Allah akan memberi ganjaran yang berlipat kali ganda di syurga nanti yang nilainya jauh lebih besar. Ujian di dunia ini hanyalah kecil jika dibandingkan dengan nikmat dan rahmat Allah.

Saban hari kita akan melalui suatu yang baru, dengan pengalaman yang baru. Dan setiap apa yang kita lalui itu  kita diberi aqal dan fikiran untuk memilih jalan yang mana berdasarkan iman dan keyakinan pada Allah. Kita cubalah untuk melaluinya berdasarkan jalan yang telah Allah tentukan, setiap apa yang kita hendak lakukan, janganlah keluar daripada landasan yang Allah tetapkan kerana apa yang kite pilih sekarang menentukan masa depan kita, masa depan kita di dunia mahupun di akhirat. Setiap orang bertanggungjawab terhadap apa yang diperbuatnya. Allah tidak menjadikan seseorang manusia itu baik atau jahat, bahkan manusia sendirilah yang membuat pilihan untuk melakukan kebaikan atau kejahatan, untuk mengikut hidayah atau kesesatan. 

Kehidupan kita sekarang merupakan cermin peribadi kita di masa lalu. Kalau baik, alhamdulillah, dan kalau buruk, janganlah menuding jari mencari kesalahan orang lain. Sebaliknya berfikirlah, carilah di mana kesilapan kita, dan kita perlu bersyukur kerana sekurang-kurangnya Allah memberi kita peluang untuk kita bertaubat kepadanya, dan jika kesalahan kita pada makhluk Alalh yang lain, Allah membuka ruang untuk kita memohon maaf dengan kesilapan kita itu. Ingat, kesilapan kita pada Allah, Allah akan ampunkan jika kita bertaubat tetapi kesilapan kita dengan orang lain, selagi dia tidak memaafkan selagi itulah Allah tidak akan memaafkannya. Lihatlah, begitu adil dan sayangnya Allah pada kita. Oleh itu, marilah kita sama-sama untuk membuat kebajikan/ kebaikan.. moga-moga dengan kebaikan kita yang sedikit itu Allah merahmati kehidupan kita. InsyaAllah..

Allahua'lam..


"Yang paling jauh bukannya bintang, mentari pun jua rembulan, tetapi adalah masa yang berlalu dan tidak akan kembali. Kelmarin yang luput menjadi secangkir kenangan, semalam yang terluput mengukir sesalan yang ada hanya hari ini dan akan datang, gunakanlah hari ini dengan sebaiknya, kerana esok belum tentu milik kita, sedangkan semalam telah pergi buat selamanya" - Imam Al-Ghazali



p/s :aku merepek jer ni.. sekadar tuk melepaskan tekanan di hati.. mana2 yang baik ambiklah.. dan mana2 yang buruk, delete je dr kepala.. :D aku hanya nak merungkaikan ape yg duk di dalam kepala aku ni.. supaya hilang sedikit demi sedikit.. Kehidupan ini suatu dugaan, sebaik-baik jalan adalah kembali pada Allah. Dan aku sedang berusaha ke arah itu. doakan aku berjaya yer.. :) 

2 comments:

Anonymous said...

utk iza yang dikasihi Allah,
Allah mentakdirkan yang lebih baik, walau skrg kita tgk tak bape indah macam dulu. tapi sape tau tu la kebahagiaan yang kita tak tersangka-sangka.. Moga iza terus berjaya dunia dan akhirat.. :)

LadyBird said...

Kak, jazakillah.. :) doakan yg terbaik tuk izza deh.. tQ..