Monday, October 12, 2009

Coretan Hati I


Waktu aku kanak-kanak.. aku banyak menghabiskan waktu bersendirian.. kehidupan aku tak bebas, tak boleh bergerak ke sana ke mari bersama teman-teman yang lain. Hidupku hanyalah di dalam rumah, ditemani semut-semut kecil yang berkeliaran di dalam rumah. Semut-semut itulah temanku.. Aku juga mempunyai beberapa ekor kucing.. kucing-kucing itulah peneman setia aku, peneman tidur aku, dan juga peneman aku ketika aku perlukan seseorang untuk kulepaskan kesedihanku.

Apabila aku kesunyian, kadang-kadang aku duduk di atas pangkin di hadapan rumahku melihat rakan-rakan sebayaku pergi ke sekolah. Hatiku hiba sangat, hati kecilku memberontak ingin turut serta ke sekolah, tetapi keadaanku tidak mengizinkan aku untuk bergaul dengan kawan-kawan yang lain. Kadang-kadang aku menangis sendirian.. aku teringin sangat nak mengalami dunia persekolahan. Hati kecilku selalu bertanya, bilakah aku dapat bermain dan dapat ke sekolah seperti kawan-kawanku yang lain? Aku teringin sangat berbasikal untuk ke sekolah.. tetapi bila aku ajukan pada ibuku.. ibuku selalu memalingkan muka dariku sambil mengesat air matanya yang menitis. Kemudian die cepat-cepat lari ke dapur dan buat-buat sibuk.

Sejak dari itu, aku tak pernah lagi bertanya kepada ibu bilakah aku akan ke sekolah.. Aku buat-buat sibuk dengan hal kanak-kanakku.. bermain-main dengan kucing, dan semut-semut. Aku suka sangat bagi semut minum air aku.. air tea.. aku sengaja titiskan air atas lantai.. aku suka tengok semut-semut sibuk memungut air dengan gembira.. semakin lama semakin banyak semut yang datang untuk menyedut air yang aku titiskan di atas lantai. Aku dapat rasakan betapa seronoknya semut-semut itu beratur mengambil air. Jika ibuku datang, cepat-cepat aku keringkan air yang aku titiskan tadi dengan kain yang aku pakai. Aku takut sangat ibuku memarahiku.. kemudian apabila ibuku beredar, aku titiskan kembali air ke tempat tadi.

Setiap petang, kanak-kanak di dalam kampung aku akan datang ke rumahku untuk belajar mengaji, waktu itulah peluang untukku berjumpa dengan kawan-kawan sebayaku yang lain. Ibuku akan mengajar mereka mengaji, dan aku turut mengaji bersama-sama dengan mereka. Apabila habis mengaji, mereka akan berbual-bual denganku. Macam-macam cerita mereka ceritakan, termasuk hal-hal persekolahan, kawan-kawan baru. Aku menjadi pendengar yang setia, dan setiap petang aku akan menanti saat itu, aku tidak pernah jemu mendengar cerita-cerita mereka, jauh di sudut hatiku aku bertekad, andai aku sihat nanti, aku akan dapat pergi ke sekolah seperti kawan-kawanku yang lain, aku akan belajar bersungguh-sungguh. Aku dah terlalu bosan duduk di rumah bersendirian.

Walaupun aku tidak bersekolah, tetapi aku mampu membaca, mengeja seperti kawan-kawan sebayaku yang lain memandangkan ibuku selalu meluangkan masa mengajarku. Kadang-kadang abang-abang dan kakak-kakakku akan memberikan aku buku-buku mereka yang belum habis digunakan untuk aku conteng. Begitulah kehidupan aku saban hari. Bertahun-tahun aku melalui kehidupan seperti itu. Terlalu pahit untuk ditelan, tetapi terpaksa jua dilalui. Aku tidak mahu lagi meratapi dan menangis meronta-ronta untuk mempersoalkan kenapa aku tidak seperti orang lain. Aku perlu kuat, aku tidak mahu pertanyaan dan tindakanku membuatkan ibuku menangis lagi. Aku bersyukur sangat-sangat kerana dikurniakan keluarga yang amat memahami dan sanggup menjagaku dan memberi semangat kepadaku. Semoga mereka terus tabah kerana mempunyai zuriat sepertiku.

Bersambung.....

0 comments: