Wednesday, August 25, 2010

Membongkar Rahsia al-Quran

Sains adalah antara cabang ilmu yang sukar difahami dan merupakan antara bidang utama yang dikaji oleh saintis di seluruh dunia sejak sekian lamanya. 

Kejayaan-kejayaan menghasilkan pelbagai teori sains yang kemudiannya berjaya membuktikan asal usul kejadian tertentu membolehkan saintis yang kebanyakannya dari Barat dikenang sepanjang zaman. 

Penemuan-penemuan itu juga menjadi satu kebanggaan dan pencapaian seumur hidup saintis berkenaan tanpa mereka sedari bahawa ia sebenarnya terlebih dahulu diterangkan oleh Allah swt. di dalam kitab suci al-Quran al-Kareem.

Ketika al-Quran diturunkan, manusia tidak mempunyai maklumat yang jelas tentang kejadian-kejadian sains dan Allah swt. berjanji untuk menunjukkan kelebihan kepada manusia tentang kebenaran al-Quran seperti firman-Nya di dalam surah Fussilat ayat 53 yang bermaksud :

"Kami akan tunjukkan kepada mereka tanda-tanda Kami di ufuk-ufuk dan pada mereka sendiri sehingga jelas kepada mereka bahawa ia (al-Quran) adalah benar. Dan adakah Tuhanmu tidak cukup (bagi kamu) bahawa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu?"

Bukti-bukti yang diperjelaskan  oleh al-Quran itu tercatat di dalam satu modul yang dikenali sebagai Pengukuhan Akidah Menerusi Penghayatan Mukjizat Sains dalam al-Quran (PASAK) yang merupakan hasil penyelidikan pensyarah Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Mohd Arif Kasmo.

Menurut Dr. Mohd Arif, al-Quran mengandungi lebih daripada 750 ayat tentang fenomena alam atau lebih tepat lagi ilmu sains yang tidak diketahui dengan jelas oleh manusia ketika Kitab Suci itu diturunkan.

Rahsia ayat-ayat al-Quran yang menceritakan tentang fenomena alam itu bagaimanapun terbongkar satu demi satu apabila ilmu pengetahuan serta sains & teknologi manusia meningkat. Rahsia yang terbongkar itu kemudiannya dikaji bermula kira-kira enam tahun lalu dan dijadikan modul yang dikenali sebagai PASAK oleh beliau, sekali gus membuktikan bahawa kejadian sains sebenarnya telah diperjelaskan oleh Allah swt. di dalam al-Quran.

PASAK membincangkan beberapa penemuan sains dalam bidang utama seperti kosmologi, embriologi, anatomi, topografi, botani, dan entimologi di bawah dua kategori utama iaitu berkaitan dengan alam semesta dan berkaitan dengan manusia.

Berikut adalah beberapa kajian sains yang telah dibuktikan oleh saintis dan terlebih dahulu dijelaskan oleh Allah swt. di dalam al-Quran seperti yang telah dikupas oleh PASAK.

Permulaan Alam Semesta

Ahli Kosmologi telah mengemukakan satu teori yang dikenali sebagai "Big Bang" yang mana menurut mereka, kira-kira 15 billion tahun lalu, satu letupan yang kuat telah berlaku. Letupan ini bukan satu letupan biasa sebaliknya merupakan letupan yang mengandungi jirim-jirim yang menjadi asas pembentukan alam semesta.

Selepas berlakunya letupan tersebut, alam semesta berterusan mengembang dan menyebabkan jarak semakin jauh antara galaksi. Kejadian alam ini sebenarnya adalah seperti yang telah dijelaskan oleh Allah swt. di dalam al-Quran seperti firman-Nya dalam Surah al-Anbiya ayat 30 yang bermaksud :

" Dan apakah orang-orang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu kedua-duanya dahulu adalah satu yang padu. Kemudian Kami pisahkan antara keduanya dan dari air kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka juga tidak beriman. " 

Air dua lautan tidak bercampur

Saintis telah menemui fenomena yang mana apabila dua lautan bertemu, wujud pemisah antara kedua-duanya. Pemisah ini membahagikan air lautan yang mempunyai suhu, kemasinan, dan ketumpatan yang berbeza. Sekalipun terdapat kejadian ombak besar, arus kuat dan air pasang surut, namun kedua-dua air lautan ini tidak akan bercampur.

Sebagai contoh, air dari Laut Mediteranean tidak bercampur dengan Lautan Atlantik walaupun kedua-dua lautan ini bertembung di Selat Gibraltar yang memisahkan Maghribi dan Gibraltar.

Bagaimanapun fenomena ini telah dinyatakan oleh Allah swt. seperti  firman-Nya dalam Surah al-Rahman ayat 19 dan 20 yang bermaksud :

" Dia membiarkan dua lautan mengalir yang kemudiannya kedua-duanya bertemu. Antara kedua-duanya ada batas yang tidak dilampaui oleh masing-masing. "

Sejarah ada mencatatkan, seorang saintis marin terkenal bernama Jacque Costeau dari Perancis yang membuat kajian tentang lautan di seluruh dunia terkejut apabila dimaklumkan bahawa al-Quran telah menyatakan tentang fenomena pertemuan dua lautan itu oleh rakannya, Maurice Brucaile. Malah terdapat maklumat mengatakan bahawa Costeau kemudiannya telah memeluk Islam dan terbukti apabila jenazahnya disempurnakan mengikut Islam dan ditalkinkan oleh Imam masjid Paris.

Asal-usul organisma hidup

Persoalan berkenaan asal-usul organisma hidup sejak sekian lama menimbulkan percanggahan pendapat dikalangan saintis. Ada yang berpendapat organisma hidup berasal daripada air yang juga komponen terbesar sel hidup.

Malah ketika saintis membincangkan kemungkinan wujudkan kehidupan di planet-planet lain, perkara utama yang akan dikaji ialah adakah terdapat air atau tidak di planet tersebut. Sebelum teori sains moden tentang asal-usul organisma hidup hanya muncul pada kurun ke-17 dan ke-18, kebanyakan saintis percaya organisma hidup muncul daripada benda-benda bukan hidup secara spontan.

Tetapi teori ini ditolak oleh saintis terkenal, antaranya Harvey, Redid an Luois Pasteur yang berpendapat organisma hidup muncul daripada tindak balas kimia yang panjang dan kompleks. Tindak balas ini dipercayai bermula di dalam lautan kerana pada ketika itu atmosfera belum cukup terbentuk untuk melindungi mereka daripada pancaran cahaya merbahaya daripada Matahari.

Teori bahawa organisma hidup pertama terbentuk dan berkembang di dalam lautan dan kolam-kolam itu dipercayai sehingga sekarang. Namun tanpa mereka sedari, asal usul organisma hidup telah dinyatakan oleh Allah swt. di dalam al-Quran menerusi firman-Nya dalam Surah an-Nur ayat 45 yang bermaksud :

" Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya dan sebahagian antaranya berjalan dengan dua kaki dan sebahagian antaranya berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja yang Dia kehendaki (selain dari yang tersebut) kerana sesungguhnya 
Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. "

Menurut Dr. Mohd. Arif, apa yang paling utama daripada penyelidikan PASAK ialah untuk membuktikan bahawa al-Quran adalah mukjizat teragung yang diberikan oleh Allah swt. kepada Nabi Muhammad saw. untuk difahami dan diyakini oleh umat Islam selepas kewafatan Baginda saw.

Ini kerana al-Quran menjadi satu-satunya pedoman kepada umat Islam untuk menyakini kebenaran dan kesucian Islam memandangkan tiada lagi mukjizat yang boleh ditunjukkan oleh nabi-nabi pesuruh Allah swt. bagi menyakinkan bahawa Islam adalah agama yang sebenar.

" Bagaimanapun, mukjizat-mukjizat al-Quran ini tidak mungkin akan diketahui sekiranya tidak dibaca, dikaji dan difahami isi kandungannya, " jelas beliau.

*Artikel ini telah ditulis dan diedit oleh empunya blog Diary Hearty. Artikel asal telah ditulis oleh Saudara Mohd Khuzairi Ismail dan diterbitkan dalam Akhbar Utusan Malaysia pada Rabu, 9 Ogos 2006. 




0 comments: