Friday, January 29, 2010

BUNGA YANG CANTIK JARANG WANGI BAUNYA!



'Pilih' Bukan 'Memilih'

Kalau soal memilih pasangan, lelaki kadangkala memasang ego yang tinggi. Kalau boleh saya katakanlah untuk bujang-bujang di luar sana yang sama seperti saya ini sebagai ‘berlagak macho’ atau ‘menjual mahal’. Mana tidaknya, mahunya kepada wanita-wanita yang perfect sahaja, dari atas sampai ke bawah semua mestinya ‘lengkap’, hendak yang cantik-cantik, yang baik budi dan lain-lain sifat peribadi yang menepati citarasa seorang lelaki. Hanya mahu citarasa diri sahaja perlu dituruti, kalau tiada ciri-ciri tersebut, wanita bakal berhadapan dengan situasi direject!

Dasyatkan lelaki ini? nanti sekejap ya, para bujang semua jangan marahkan saya dahulu. Kerana apa yang saya katakan tadi ada juga benarnya. Jika tidak masakan ada lelaki yang sanggup mempermainkan cinta:

‘Akhir zaman perempuan sudah ramai. Tak perlu takut kalau tak dapat, cari saja yang lain’

‘Aku bukan serius sangat pun dengan Farah, kau tahu tak? Aku anggap macam kawan biasa. Aku belum jumpa lagi perempuan yang sesuai dengan jiwa aku ni’

‘Bulan lepas dengan Nadia, bulan ni dengan Khatty, bulan depan dengan siapa pula? Apa nak jadi dengan kau ni Faris?’

Wahh! Egokan lelaki? Jika anda menyerahkan bab memilih kepada lelaki, datanglah berjuta-juta bidadari pun kepada mereka, lelaki belum tentu menjumpai bidadari yang berkenan di hatinya. Bawalah puteri Raja Besiung yang paling anggun, silap hari bulan, kalau hidung puteri itu tak semancung Angelina Jolies, pasti ditolak mentah-mentah oleh yang bernama lelaki. ‘Not my taste’ katanya dengan lagak.

Begitulah lelaki, selagi ada yang sempurna, selagi itu akan dicari, digali dan dipilih-pilih. Apabila sudah menjumpainya dia akan merasa tidak cukup tatkala terpandang kesempurnaan yang lain. Pilih dan terus-menerus memilih. Aduhai lelaki…………

Habis.

Cukup dulu di sini tentang soal perangai lelaki apabila disuruh memilih. Jangan marah ya laki-laki, kerana saya juga lelaki, jadi saya amat mengenali lelaki. ayuh pergi pula kepada apa yang dipilih. Saya ditanya oleh seorang rakan sepengajian soal memilih pasangan yang bagaimana untuk kesesuaian diri. Ciri yang macam mana dikatakan sesuai dan serasi dengan pasangan yang dipilih, dan dari sudut yang mana harus didahulukan dalam perkara memilih pasangan.

‘Kalau datang doktor, cikgu dan ustazah. Mana yang anta pilih?’

‘Ana suka cikgu!’ balas saya ringkas.

‘Kenapa pilih cikgu? Tak pilih ustazah atau doktor?’

‘Cikgu lebih banyak masanya terluang untuk anak-anak berbanding doktor. Anak-anak kan lebih molek ditarbiyyah oleh seorang ibu?’ saya jawab lagi. Dia bertanya lagi.

‘Kalau andaikata emak anta mahukan menantu doktor, anta akan cari? Walaupun doktor itu sibuk kerjayanya?’

‘Begitulah! Redha ayah dan bonda tidak kurang pentingnya. Tetapi kalau sudah ada lampu hijau untuk memilih pasangan dari mak ayah, pilihlah yang mana menjadi kesukaan di hati’ balas saya.

‘Habis mana satu nak dahulukan ya? Macam mana pula kalau pilih doktor? Dia ada ciri muslimah, tapi masalahnya dia bakal berhadapan dengan kesibukkan’

‘Beginilah. Apa pun sudut pemilihan, utamakan akhlaknya (agama)’ itu saja jawapan yang saya mampu berikan.


Akhlak Adalah Pedoman

Ya. ketepikan sebentar nilaian dari segenap material dan subjektifnya. Jangan fikirkan dahulu soal kerjayanya, soal kesibukkan yang bakal dihadapi, soal kecantikkan yang dimiliki. Saya menjamin pemilihan yang mendahulukan kepentingan dari sudut akhlaknya (agama) akan melengkapkan segala bentuk pemilihan. Mari hayati Hadith Nabi ini yang berkata berkenaan petua mencari jodoh:

‘Kahwinilah perempuan-perempuan itu kerana 4 perkara. Kerana kecantikkannya, kerana hartanya, kerana keturunannya. Maka pilihlah ia kerana (kecantikkan) agamanya (akhlak). Maka akan beruntunglah kedua tanganmu’

Saya percaya jika akhlak ini menjadi pendahulu sebagai nilaian yang diutamakan, ia sudah melengkapi separuh daripada aspek pemilihan jodoh, yang tinggal hanya sebahagian lagi untuk dipenuhi. Bagaimana? Contohnya begini.

Kalaupun pasangan yang dikahwini itu tidaklah kaya dan memiliki cantiknya wajah, tetapi cantik dan kayanya dia dari sudut akhlak dapat mengatasi semua aspek tadi. apalah sangat jika kayanya pada harta seorang perempuan itu tetapi dia tidak mampu memberikan manfaat dari sudut kebaikkan. Begitu jugalah pada kecantikkan wajahnya, sejauh mana cantik wajah tadi berupaya mengekalkan kebahagiaan sehingga ke akhir hayat perkahwinan, bunga yang cantik pun akan layu, apatah lagi kecantikkan yang ada pada sebuah kulit.

Rupa yang cantik dan jelita jika selalu ditatap akan bosan juga akhirnya. Kualiti bukan dilihat pada fizikal semata-mata tetapi pada nilai dan harga. Kerana itulah kekayaan harta, ketinggian pangkat, dan lain-lain nilaian material tidak dapat menandingi kuasa sebuah akhlak. Kerana akhlak adalah nilai kepunyaan diri. Saya mahu bertanya, jika anda didatangi dua wanita cantik, seorang baik budi pekertinya dan seorang lagi sebaliknya, di manakah kebijaknsaan anda membuat pilihan? Sudut yang mana menjadi aspek utama pemilihan?

Saya mahu berkongsi dengan teman pembaca semua, bahawa nilai akhlak itu bisa mengatasi semua nilai material yang lain. Cantik wajah akan dikalahkan dengan cantiknya akhlak walaupun dia memiliki kurang kecantikkan. Kekayaan harta juga boleh dikalahkan dengan kekayaan budi walaupun dalam keadaan kemiskinan harta.

Apalah gunanya mempunyai mulut dan bibir yang cantik jika gunanya hanya untuk mengumpat dan mengadu domba. Tiada nilai, apa lagi manfaat.


Tipah Jangan Tertipu Lagi

Jangan mudah terpedaya dengan kecantikkan yang sekejap. Ia tidak kekal dan bukan juga jaminan sebuah kebahagiaan yang hakiki. Tetapi bukan bermakna saya menghalang terus daripada mencari yang cantik-cantik. Carilah, tidak mengapa kerana itu juga berupaya menyumbang kepada kebahagiaan. Sejuk mata memandang akan sejuk juga di hati maka suasana akan menjadi damai. Tetapi jangan sesekali melebihkannya kerana ia tidak kekal. Biarlah wanita itu tidak seayu Kajol dan lelaki tidak setampan Shahrukh Khan yang penting hati akan bahagia sampai ke hari tua kerana tenang akan akhlaknya dan sejuk menjamah budinya.

Kadangkala orang terpengaruh akan kecantikkan, bagi mereka yang cantik itu baik. Akhirnya terus memilih yang cantik. Lalu apa kurangnya pada yang tidak cantik? Ohya, mari saya mahu berpesan kepada sidang, yang cantik wajahnya atau yang hensem rautnya belum boleh dijamin baiknya. Yang hodoh pula belum tentu ia adalah buruk. Kalau anda yang pernah merasai madu, jangan terkejut melihat sarangnya yang hodoh, mungkin anda yang melihat akan berkata kotor! Tetapi lihat saja pada hasilnya, madu bukan saja yang enak, bahkan menjadi penawar kebanyakkan penyakit.

Bunga juga begitu, bukan semua bunga yang cantik wangi baunya. Ada yang tidak berbau bahkan ada juga yang busuk baunya. Saya pernah mencium pada sekuntum bungan Matahari dan Bunga Tahi Ayam, tuhan saja yang tahu ‘wanginya’. Tetapi kalau Bunga Cinta Lestari, itu saya tidak tahu bagaimana, tanyalah pada Asyraf Sinhclair.

Dulu saya juga begitu, teringin juga mahu mencari yang cantik-cantik. Saya sangka cantik bisa memberi ruang untuk kebahagiaan. Tidak mengapalah, saya sudah melupakan semua itu, cantik atau sebaliknya bagi saya sama sahaja, yang terbaik bagi saya adalah pada budi dan akhlaknya. Saya suka yang itu. Yang penting dia bakal membahagiakan KEHIDUPAN saya dengan kekayaan budi yang ada padanya.

saya mahu merasai hidup dalam suasana harmoni kerana kaya akan budi pekerti, anda juga perlu begitu saya kira. Saya berani menjamin anda tidak akan kecewa. Budi itu akan disimpan walaupun pemiliknya sudah ‘pergi’ meninggalkan kita. Begitulah yang ada pada Nabi yang bernama MUHAMMAD saw. Ada serangkap pantun yang saya ambil daripada Tuan Guru Nik Aziz, walaupun agak menyindir tetapi kias maknanya, dengarkan;

‘Apa guna berkain Batik,
jika labuh berbayang-bayang,
apa guna beristeri cantik,
jika subuh tidak sembahyang’

Terserahlah sekarang, pilihan di tangan anda.


dipetik dari : http://afiqsaleh.blogspot.com

4 comments:

neo said...

putri..cintailah seseorang dengan hati yang ikhlas bukan dengan paras rupa dan harta benda..utamakan agamanya...

Putri said...

nk cari yg beragama susah neo..

Al-Farosyah said...

Nak cari jodoh yang baik dan soleh@solehah, beristikharahlah.

Hanya Allah tempat kita merujuk dan memohon bantuan dan ilham. Hanya Allah yang tahu akan perjalanan kehidupan kita pada masa akan datang. Dan hanya Allah yang mengerti apa yang terbaik untuk diri kita, sedangkan kita tak memahami apa-apa.

Barangkali kita membenci sesuatu, padahal ia adalah sesuatu yang baik dan mendatangkan manfaat untuk kita. Dan barangkali pula kita sangat menyukai dan menyayangi sesuatu itu, padahal sebenarnya mungkin ia akan mendatangkan penderitaan dan keburukan untuk kita.

Oleh itu, hanya Allah s.w.t sahajalah tempat untuk kita memohon kebaikan dan petunjuk dalam membuat pilihan..

Wallahu'alam..

Putri said...

"Barangkali kita membenci sesuatu, padahal ia adalah sesuatu yang baik dan mendatangkan manfaat untuk kita. Dan barangkali pula kita sangat menyukai dan menyayangi sesuatu itu, padahal sebenarnya mungkin ia akan mendatangkan penderitaan dan keburukan untuk kita."

terima kasih kak untuk ayat nih.. betul, kite tak pernah tahu yg mana baik tuk kiter.. hanya doa jer lah moga2 Allah memberi yang terbaik untuk kite. aminn..